Pemimpin DAP kongsi kisah bagaimana beliau minat belajar jawi

Pemimpin DAP kongsi kisah bagaimana beliau minat belajar jawi

Tan Seng Giaw tertarik dengan tulisan jawi selepas mempelajarinya secara tidak formal menerusi rancangan pendidikan jawi di RTM pada awal 70-an.

Bekas ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw.
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin DAP mengakui mempelajari tulisan jawi lebih mudah dan ringkas kerana hanya memiliki 37 huruf sahaja, berbanding tulisan Mandarin yang menurutnya mempunyai ribuan huruf.

Dr Tan Seng Giaw berkata, beliau tertarik dengan tulisan jawi selepas mempelajarinya secara tidak formal menerusi sebuah rancangan pendidikan jawi yang disiarkan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada awal 70-an sewaktu beliau melibatkan diri sebagai askar.

“Waktu itu sekitar 1971 hingga 1972, guru yang mengajar tulisan jawi itu di TV2, saya buka televisyen dan ikut beberapa pelajaran.

“Jika tidak ikut, macam mana hendak tahu. Pada ketika itu, pengajaran hanya dibuat menggunakan papan hitam sahaja. Tulisan jawi hanya ada 37 abjad sahaja,” katanya kepada FMT.

Tan yang juga bekas ahli Parlimen Kepong masih mempraktikkan tulisan jawi sejak lebih 40 tahun lalu dan masih menggunakan tulisan jawi di media sosial bagi menyuarakan pandangannya berkaitan isu semasa.

“Saya setiap hari tulis jawi, saya tulis di media sosial. Sekarang ini mudah, apatah lagi dengan adanya telefon pintar. Lagipun, tulisan jawi ini merupakan tulisan sejagat di rantau ini,” katanya merujuk penggunaan tulisan jawi semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Bagaimanapun menurut Tan, Kementerian Pendidikan tidak sewajarnya mewajibkan pelajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) mengikuti dan mempelajari tulisan jawi, sebaliknya biarlah ia dibuat atas minat pelajar itu sendiri.

“Bagi masyarakat Cina, ketika ini ada lebih 1,000 SJKC, dan mereka menggalakkan tulisan kaligrafi dalam bahasa Mandarin, setiap murid harus ada berus, mangkuk dakwat dan buku latihan, tapi tidak ada paksaan. Kalau kita ada tulisan khat, apa salahnya.

“Saya suka tulisan jawi, jangan paksa orang. Kita cuma galakkan sahaja, kerana ia adalah satu warisan. Ikut minat masing-masing, biarlah pelajar yang membuat pilihan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai hasrat Putrajaya memperkenalkan tulisan jawi dan seni khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu Tahun 4 di SJKC dan SJKT menjelang 2020, yang ketika ini mendapat bantahan dari beberapa pimpinan DAP.

Pemimpin DAP itu menunjukkan tulisan jawi dan kaligrafi Cina yang ditulisnya.

Tan memaklumkan tulisan Jawi baik untuk dipelajari setiap rakyat memandangkan ia salah satu warisan negara, bahkan turut menggalakkan rakyat mempelajari tulisan dan pertuturan dari bangsa dan negara lain.

“Saya sendiri galakkan rakyat dalam negara, selepas mahir bahasa dan tulisan kebangsaan, kita boleh belajar tulisan lain, seperti jawi dan lain-lain. Ia baik untuk diri kita juga.

“Seperti di Malaysia, tulisan jawi adalah satu warisan negara, jadi adalah lebih baik kita ikhtiar untuk pelihara warisan,” katanya.

India, Cina masih curiga

Tan memaklumkan, masih wujud rasa curiga dalam kalangan masyarakat Cina dan India terhadap langkah memperkenalkan seni tulisan jawi atau khat di sekolah vernakular tahun depan.

Menurutnya, rasa curiga dan perasaan takut masyarakat Cina dan India berhubung tulisan jawi berlaku secara tidak langsung disebabkan kenyataan pemimpin parti politik yang mempolitikkan isu itu dan menjadikan ia sebagai isu perkauman.

“Masyarakat Malaysia ini berbilang kaum dan agama, jadi memang ada rasa curiga dan syak wasangka. Ia jadi masalah apabila perkara ini dijadikan isu politik. Ahli politik kita hanya hendak dapat undi, apabila berceramah bukan main hebat lagi mempertahankan bangsanya.

“Jadi, fikiran seperti ini akan membawa akibat buruk. Sudah bertahun-tahun ia dilakukan oleh orang politik dan sebab itulah wujud rasa syak wasangka.

“Namun, kini berserah kepada KPM untuk menunjukkan kepada rakyat mengenai niat pelaksanaan perkara itu,” katanya.

Tan bagaimanapun enggan menjelaskan sama ada kenyataan itu merujuk kepada pimpinan dalam parti DAP atau sebaliknya. Baginya, tindakan mengagungkan bangsa tertentu dilakukan semua pimpinan parti politik negara ini.

Sebelum ini, beberapa percanggahan pendapat dibuat pimpinan DAP yang sehingga kini parti itu masih belum membuat sebarang ketetapan berhubung perkara tersebut.

“Kalau hendak buat sesuatu, mesti fikir apakah perasaan bangsa Melayu, begitu juga sebaliknya iaitu perasaan bangsa Cina dan India. Tidak dinafikan politik ini merupakan satu persaingan, cuma dengan tipu dan muslihat sahaja orang politik boleh menang,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin kanan DAP berdepan kemarahan komuniti tertentu mengenai seni khat di sekolah aliran bermesyuarat bagi membincangkan mengenai perkara itu. Perbincangan yang berlangsung hampir 5 jam itu sehingga kini masih belum mendapat sebarang ketetapan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pengenalan khat di sekolah aliran akan diteruskan kerana hanya minoriti kecil yang membantah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.