Putrajaya nafi terlibat program Zakir Naik di Perlis

Poster ‘Malaysia Reverts Camp’ yang menampilkan Zakir dan keluarga turut menyenaraikan RTM sebagai penganjur bersama.

PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) menafikan pihaknya termasuk Jabatan Penerangan dan Jabatan Penyiaran terlibat sebagai penganjur dalam program 3 hari bersama penceramah kontroversi Dr Zakir Naik di Perlis, minggu ini.

KKMM melalui satu kenyataan meminta pengajur mengeluarkan logo kementerian termasuk agensinya daripada semua bahan publisiti program berkenaan.

“Penggunaan logo-logo rasmi kementerian dan jabatan tanpa kebenaran adalah suatu tindakan tidak beretika dan boleh mengelirukan orang ramai,” kata kenyataan tersebut.

Hari ini, FMT melaporkan Zakir, isterinya Farhat dan anak mereka Fariq, Rushda dan Zikra akan muncul dalam acara dibuat untuk saudara baru bersama agensi kerajaan serta badan penyiaran negara, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang disenaraikan sebagai penganjur bersama.

Acara yang bermula esok adalah sebahagian daripada apa yang disebut “Malaysia Reverts Camp” anjuran kumpulan penyebar Islam yang berpangkalan di Perlis, One Centre Malaysia dan Majlis Agama dan Istiadat Melayu Melayu Perlis.

Kem tersebut akan diadakan di Masjid Al Hussain yang juga dikenali sebagai “Masjid Terapung”.

Senarai penceramah utama pada acara tersebut termasuk Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dan penceramah motivasi Islam, Zamri Vinoth serta Ridhuan Tee Abdullah.