Datuk rogol cucu tiri ketika isteri terlantar sakit

Mangsa dikatakan turut dicabul ketika berada di sebelah neneknya yang terlantar sakit di katil.

PETALING JAYA: Polis Indonesia menahan seorang datuk berusia 66 tahun kerana merogol cucu tirinya berusia 13 tahun sehingga hamil.

The Jakarta Post melaporkan penyiasat polis di Blitar, Heri Sugiono berkata pegawainya menahan suspek yang dikenali sebagai Sobari setelah menerima laporan daripada penduduk kampung.

Heri berkata Sobari mengaku mencabul cucu tirinya itu sebanyak 7 kali sejak 2 bulan lalu ketika mangsa masih di Tahun 6 sekolah rendah.

“Dia juga dikatakan mencabul mangsa ketika mangsa berada di sebelah neneknya yang terlantar sakit di katil,” katanya sambil menambah isteri suspek diserang stroke sejak 2 tahun lalu.

Ketua kampung di Gembongan, Jawa Timur itu berkata anak perempuan suspek adalah ibu tiri mangsa. Katanya, mangsa dan bapa kandungnya tinggal bersama ibu tiri di rumah suspek sejak bercerai dan ibu kandung meninggalkannya sejak kecil.

“Selain itu, ibu tirinya mempunyai penyakit polio. Manakala bapanya sibuk bekerja mencari siput pada waktu petang,” katanya.

Kata ketua kampung itu lagi, berkata kes itu terbongkar apabila beberapa jiran curiga melihat perubahan pada diri mangsa.

“Seminggu lalu, mereka membuat keputusan membawanya ke dewan kampung untuk perbincangan. Perasaan curiga (jiran-jiran) ternyata tepat dan berdasarkan pemeriksaan bidan, mangsa (didapati) hamil 4 bulan.”