Hari Sukan Negara, Malaysia Sports Challenge sebahagian Bulan Sukan Negara

KUALA LUMPUR: Hari Sukan Negara (HSN) dan Malaysia Sports Challenge (MySC) kekal dalam perancangan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sempena sambutan julung kali Bulan Sukan Negara yang akan berlangsung sepanjang Oktober ini.

KBS dalam kenyataan hari ini menjelaskan Bulan Sukan Negara yang diwujudkan mulai tahun ini, hasil inisiatif lanjutan daripada HSN yang disambut selama sehari pada minggu kedua Oktober sejak 2015.

Pada tahun ini, HSN akan diadakan pada 12 Okt, manakala MySC yang bakal berlangsung sepanjang Oktober merupakan inisiatif yang mendapat sokongan untuk membudayakan sukan dalam sektor korporat.

Dalam usaha menambah baik HSN, KBS menyenaraikan pelbagai aktiviti sempena Bulan Sukan Negara termasuk ekspo sukan dan konvensyen khas wanita dalam sukan serta beberapa aktiviti oleh kementerian dan kerajaan negeri.

Antaranya, kolaborasi bersama pihak swasta dan kerajaan dalam memberi khidmat serta fasiliti secara percuma atau dalam bentuk diskaun serta program sukan antarabangsa atau kebangsaan yang diberikan kelulusan dan bantuan khas.

Kenyataan itu memaklumkan penambahbaikan dan perubahan konsep lebih kontemporari dan memenuhi keperluan semasa adalah keutamaan sangat penting terhadap program Bulan Sukan Negara bagi menjamin agenda “Sukan Untuk Semua” kekal relevan sepanjang zaman.

KBS juga percaya Bulan Sukan Negara bakal menjadi penanda aras kepada seluruh kementerian dan agensi kerajaan dalam penganjuran program kepada rakyat.