Perbualan anda dalam Messenger mungkin dirakam!

Beberapa bulan lalu kita digemparkan dengan dakwaan terdapat beberapa pihak cuba menggodam data peribadi termasuklah akaun Facebook.

Ini kerana terdapat data yang dimuat naik seorang pengguna di akaun Facebook miliknya telah dikongsikan kepada pihak luar tanpa izin ataupun pengetahuannya.

Isu yang terbaru ini pula melibatkan aplikasi Facebook Messenger.

Menurut laporan AFP, Facebook telah mengupah beratus-ratus pekerja kontrak untuk mendengar perbualan penggunanya dan menyediakan penulisan transkripsi bagi setiap mesej yang dihantar!

Maknanya apa sahaja topik yang anda sembangkan dengan rakan, bermakna ia bukanlah dikira peribadi.

Berikutan itu, Facebook akui bahawa dakwaan yang mula dilaporkan oleh Bloomberg ini adalah benar.

Tetapi mereka hanya melakukannya dengan izin pengguna.

Tujuannya ialah untuk menguji kebolehan teknologi artificial intelligence (kecerdasan buatan) perkhidmatan media sosial ini dalam mentafsir mesej yang diterima.

Pengguna yang terlibat hanyalah mereka yang memberi keizinan untuk perbualan suara mereka disalin dan dijadikan transkripsi.

Praktis transkripsi ini sudahpun dihentikan lebih daripada seminggu lalu.

Bloomberg melaporkan bahawa pekerja-pekerja kontrak ini merasa terganggu ketika mendengar audio peribadi yang tidak didedahkan pula kepada mereka siapa pemiliknya.

Menjadikan situasi ini lebih teruk ialah apabila audio itu mengandungi kandungan yang lucah dan kesat.

Bagaimanapun, pekerja kontrak ini tidak diberitahu motif mereka perlu melakukan transkripsi ini.

Facebook juga tidak menjelaskan apa yang mereka buat dengan audio yang telah digunakan selepas itu.

Baru-baru ini, Facebook menjelaskan saman sebanyak US$5 bilion (RM20.9 bilion) kepada Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Amerika Syarikat di atas alasan menyalahgunakan data peribadi pengguna.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]