Kami akan buktikan Jho Low ialah bayangan dan rakan subahat Najib, kata pendakwa raya

Kami akan buktikan Jho Low ialah bayangan dan rakan subahat Najib, kata pendakwa raya

Gopal Sri Ram berkata, pasukan pendakwaan turut akan membuktikan Najib Razak melalui percakapan dan kelakuannya menunjukkan kepada pegawai dan lembaga pengarah 1MDB serta pihak lain yang Jho Low ialah rakan dipercayainya.

Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk perbicaraan 1MDB ditunggu-tunggu yang bermula hari ini.
KUALA LUMPUR:
Pendakwaan dalam perbicaraan 1MDB hari ini berkata, Najib Razak dan ahli perniagaan, Low Taek Jho bersubahat untuk menyeleweng berjuta ringgit daripada pelabur negara.

Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc, Gopal Sri Ram berkata, hakikatnya ahli perniagaan yang lebih dikenali sebagai Jho Low itu ialah bayangan bekas perdana menteri berkenaan.

“Pihak pendakwaan akan membuktikan fakta yang menunjukkan kesimpulan tidak dapat dinafikan Jho Low dan tertuduh (Najib) bertindak sebagai satu pasukan pada setiap masa,” katanya ketika membacakan pernyataan pembukaan sepanjang 17 muka surat di depan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan itu yang dilantik untuk mengetuai pasukan pendakwaan berkata, ia turut akan membuktikan tertuduh melalui percakapan dan kelakuannya menunjukkan kepada pegawai dan lembaga pengarah 1MDB serta pihak lain yang Jho Low ialah rakan dipercayainya.

Najib berdepan 25 pertuduhan pengubahan wang dan penyalahgunaan kuasa pada September lalu atas dakwaan dana 1MDB dimasukkan ke akaun AmBank beliau.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan RM2.28 bilion pada Februari 2011 dan Disember 2014.

Beliau turut didakwa memindahkan dana haram RM2.28 bilion ke akaun banknya dan kemudiannya menggunakan wang itu.

Sri Ram berkata, kes itu berkaitan dana dari 1MDB yang pada awalnya dikenali sebagai Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) sebelum ia ditukar kepada 1MDB di bawah Najib.

“Beliau turut membuat pindaan terhadap artikel syarikat untuk meletakkan dirinya sebagai kuasa tunggal ke atas perkara penting berkaitan perniagaan dan hal ehwal 1MDB.”

Katanya, Najib mempunyai kuasa mutlak ke atas 1MDB dan selaku pengerusi lembaga penasihatnya, perdana menteri serta menteri kewangan, beliau mempengaruhi lembaga pengarah untuk melakukan transaksi luar biasa.

“Matlamat utama tertuduh ialah memuaskan hawa nafsu dirinya. Beliau berjaya mencapai matlamat itu.”

‘Dokumen palsu dari putera Arab’

Sri Ram berkata, satu “lakonan terperinci” dimainkan dalam 4 fasa membabitkan beberapa watak.

“Kejadian berkaitan mereka perlu dipertimbangkan sebahagian daripada kisah lanjutan disebabkan pelan dirancang terlebih dahulu oleh tertuduh untuk memperkayakan dirinya.”

Beliau berkata, 4 pertuduhan penyalahgunaan kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang adalah hasil daripada 4 fasa itu.

Katanya, pihak pendakwaan akan menunjukkan bukti berdasarkan keadaan dan secara langsung, tertuduh dalam pelbagai peranannya mengambil beberapa langkah untuk menyalurkan dana 1MDB ke akaunnya menggunakan kaedah bagi mengelakkan sumbernya dikesan.

Sri Ram berkata, selepas skandal 1MDB terbongkar pada awal Julai 2015, tertuduh dan Jho Low bertindak menutup jejak mereka.

Beliau berkata, dokumen palsu dihasilkan yang berpura-pura seorang putera Arab memberikan sumbangan.

“Antaranya beberapa surat dan 4 keping cek yang setiap satu berjumlah AS$25 juta didakwa ditulis seorang individu dikatakan ialah penderma Arab. Tetapi, cek ini bukan bermaksud untuk ditunaikan dan tidak pernah ditunaikan.”

Katanya, pihak pendakwaan juga akan menunjukkan bukti tertuduh mengambil langkah aktif untuk mengelak dikenakan tindakan dan campur tangan dalam siasatan.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) menganggarkan AS$4.5 bilion diseleweng dari 1MDB oleh pegawai tingginya dan rakan mereka antara 2009 hingga 2014.

DoJ turut memfailkan saman untuk merampas kira-kira AS$1.7 bilion aset yang didakwa dibeli dengan wang dicuri dari 1MDB.

Malaysia turut memfailkan pertuduhan jenayah terhadap Goldman Sachs dan bekas pekerjanya, serta menuntut AS$7.5 bilion dikembalikan berdasarkan urus niaganya dengan 1MDB.

DoJ juga menyiasat bank AS itu atas peranannya sebagai penaja jamin dan pengatur 3 jualan bon yang mengutip AS$6.5 bilion (RM26.71 bilion) untuk 1MDB.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.