India gesa Interpol bertindak atas permohonan ‘notis merah’ terhadap Naik

Antara individu yang belum dikeluarkan notis merah oleh Interpol termasuk Zakir Naik.

PETALING JAYA: India dilaporkan menggesa Interpol supaya mengambil tindakan atas permohonan “notis merah” (RCN) terhadap beberapa pelarian tertentu yang mengelakkan diri daripada undang-undang, termasuk pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik, yang mempunyai status pemastautin tetap di Malaysia.

Times of India berkata, Setiausaha Dalam Negeri, AK Bhalla bertemu dengan Ketua Setiausaha Interpol Jurgen Stock selama 30 minit pada Jumaat berhubung perkara itu.

Stock juga dilaporkan membuat pertemuan dengan pengarah Biro Penyiasatan Pusat India (CBI) Rishi Kumar Shukla untuk membincangkan isu “kepentingan bersama”.

Akbar itu menyebut, kelewatan dalam mengeluarkan RCN terus menjadi isu bagi CBI kerana dalam banyak kes penting, ia hanya dikeluarkan selepas menunggu lama.

Shukla juga menimbulkan isu mengenai Interpol melayan rayuan pelarian berprofil tinggi yang menggunakan alasan seperti pelanggaran hak asasi manusia, justeru menyebabkan penangguhan.

Tahun lepas, CBI menghantar 123 permohonan RCN kepada Interpol. Hanya 76 daripadanya dikeluarkan.

Sehingga 15 Julai tahun ini, 41 permohonan dibuat kepada Interpol dan 32 dikeluarkan.

“Antara yang belum dikeluarkan RCN oleh Interpol termasuk Zakir Naik,” kata seorang pegawai kepada akhbar tersebut.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dilaporkan beberapa kali berkata Malaysia tidak akan menghantar pulang Naik ke India untuk menghadapi tuduhan pengubahan wang haram kerana beliau berdepan risiko dibunuh dan terdapat keraguan beliau akan mendapat perbicaraan yang adil di negara itu.

Baru-baru ini, komen Naik semasa berceramah di Kelantan menyebabkan lebih 100 laporan polis dibuat terhadapnya. Polis memanggil beliau untuk merakamkan kenyataan di ibu pejabat polis Bukit Aman.

Naik dilaporkan mempersoalkan kesetiaan penganut agama Hindu Malaysia kepada Mahathir dan kemudian dipetik sebagai berkata masyarakat Cina di Malaysia juga dianggap sebagai “tetamu” di negara ini.

Mahathir memberi amaran kepada Naik supaya tidak terlibat dengan isu politik negara. Beliau berkata, kerajaan akan membatalkan status pemastautin tetap Naik jika tindakannya didapati menggugat kesejahteraan negara.