
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Mohd Zani Che Din berkata mangsa Lee Poh Meng, 54, ditemui orang awam dalam keadaan terlantar dan berlumuran darah, pada pukul 3 petang.
“Mangsa ditemui dalam tandas pengawal keselamatan yang dikunci dan pihak hospital mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Beliau berkata ketiga-tiga lelaki itu ditahan di perkarangan kondominum pada kira-kira pukul 6 petang semalam, dengan 2 warga asing itu bekerja sebagai pegawal keselamatan, manakala suspek warga tempatan merupakan pengurus pengawal keselamatan.
“Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, mangsa dipukul berkali-kali menggunakan topi keledar oleh salah seorang suspek di bilik kawalan pengawal keselamatan, pada Ahad (1 Sept).
“Ianya dipercayai berpunca daripada mangsa yang tidak membayar gaji pengawal keselamatan,” katanya.
Zani berkata mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.