
Katanya, kerajaan Selangor tetap berpegang pada larangan ke atas ajaran Syiah seperti yang diputuskan Jawatankuasa Fatwa Selangor pada 2013.
“Kita sudah jelaskan dan berulang kali dalam khutbah Jumaat menyebut berkenaan larangan terhadap ajaran Syiah ini,” katanya ringkas kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan Selangor Agrofest 2019 di Tapak Bazarena, Seksyen 13 hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Jais, Azlinda Azman dalam kenyataan hari ini berkata Pengerusi Syiah Malaysia, Kamil Zuhairi Abdul Azizi antara 22 individu yang ditahan Jais dalam serbuan di Taman Sri Gombak malam tadi.
Katanya, serbuan pada kira-kira 9.55 malam semalam itu dilakukan selepas pihaknya mendapat aduan dari orang awam berkaitan aktiviti yang akan dilakukan oleh penganut Syiah di markas Hauzah ar-Ridha di Taman Sri Gombak.
“Beberapa barang turut disita semasa tangkapan berkenaan antaranya seperti kain rentang, batu karbala, bingkai gambar, kitab dan buku berkaitan ajaran Syiah.
“Kamil dan 21 pengikutnya kemudian dibawa ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak bagi siasatan lanjut,” katanya.
Azlinda berkata tangkapan dilakukan Jais berdasarkan Seksyen 12(C), Enakmen Jenayah Syariah Selangor, yang jika sabit kesalahan boleh didenda RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya.
“Tindakan yang dilakukan oleh Jais bertepatan dengan fatwa yang diwartakan pada Okt 2013 oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor bahawa fahaman dan ajaran Syiah bercanggah dan menyeleweng dari ajaran Islam yang sebenar menurut Ahli Sunnah Wal Jamaah.
“Salah satu ajaran Syiah adalah mereka menolak Ijmak Ulama, Islam bukan syarat wajib Haji dan pelbagai lagi yang boleh mendatangkan bahaya kepada umat Islam di samping menyebabkan perpecahan ummah,” katanya.
Katanya lagi, Jais akan terus memantau kegiatan penganut ajaran berkenaan untuk memastikan tiada sebarang aktiviti berkaitan ajaran itu dijalankan di Selangor, terutamanya aktiviti berkaitan sambutan Hari Karbala yang disambut setiap 10 Muharam.
“Jais juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap penganut ajaran berkenaan dan memohon kerjasama dari orang ramai untuk memaklumkan sebarang kegiatan jenayah syariah ke pihak penguatkuasa Jais,” katanya.