Khutbah kutuk Syiah, serbuan Jais titik hitam dalam sejarah Malaysia, kata aktivis

Khutbah kutuk Syiah, serbuan Jais titik hitam dalam sejarah Malaysia, kata aktivis

Pengarah IRF, Ahmad Farouk Musa berkata pemimpin amat takut dengan 'Napoleon-napoleon kecil' di badan-badan agama seolah mereka penjaga pintu syurga dan neraka.

Dr Ahmad Farouk Musa.
PETALING JAYA:
Aktivis Islam, Dr Ahmad Farouk Musa berkata khutbah menyasarkan komuniti Syiah dan serbuan terhadap acara tertutup penganutnya baru-baru ini titik hitam dalam sejarah Malaysia yang pernah dua kali menganggotai Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.

Pengarah Islamic Renaissance Front (IRF) itu berkata tindakan keras pihak berkuasa agama negeri itu, yang dibiarkan oleh menteri hal ehwal agama persekutuan, membuktikan situasi toleransi agama di Malaysia belum berubah meskipun kerajaan bertukar pada pilihan raya umum lepas.

“Kepercayaan adalah keyakinan peribadi, oleh itu kerajaan tiada kuasa untuk mencampuri pilihan kepercayaan seseorang,” katanya dalam kenyataan.

IRF berkata pihak berkuasa agama dan kerajaan tidak boleh dwistandard dengan prinsip teras Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR), memperjuangkan hak minoriti yang dianiaya di negara orang tetapi membiarkan penganiayaan golongan minoriti Islam di negara sendiri.

Lebih teruk lagi, katanya, sikap pihak berkuasa agama nampaknya disokong pertubuhan “sederhana” seperti Ikram Selangor dan menteri besar.

“Reformasi substantif apa yang boleh kita harapkan daripada kerajaan baru ini apabila minda para pemimpinnya langsung belum berubah? Mereka amat takut dengan ‘Napoleon-napoleon kecil’ di badan-badan agama seolah mereka penjaga pintu syurga dan neraka,” katanya.

Farouk berkata kegagalan pemimpin memahami bahasa hak asasi manusia menyebabkan negara ini masih dalam kalangan negara dunia ketiga walaupun kerajaan berterusan melobi keanggotaan Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Beliau mempersoalkan keinginan Malaysia menganggotai majlis itu sedangkan kerajaan bukanlah model dalam mengamalkan hak asasi manusia dan kebebasan kepercayaan yang menjadi prinsip teras UDHR.

“Barangkali menteri hal ehwal agama boleh meredakan ketegangan dan menyedarkan birokrat-birokrat agama yang seperti terasuk. Malangnya, dia melepaskan tanggungjawabnya sebagai menteri dan menolak tanggungjawab itu kepada Jabatan Agama Islam Selangor.”

Farouk berkata apa yang diperlukan ketika ini adalah kepimpinan berprinsip yang memahami bahasa hak asasi manusia dan berusaha ke arah melaksanakan impian itu.

“Perlu ada beberapa entiti perundangan atau instrumen yang boleh secara berkesan menegakkan keadilan dan memantau pencabulan hak asasi manusia,” tambahnya.

Jais pada Jumaat menyerbu sebuah pusat kegiatan Syiah di Gombak yang menyaksikan 23 orang termasuk wanita dan kanak-kanak ditangkap kerana menyalahi enakmen yang melarang amalan ajaran Syiah.

Serbuan itu sebahagian daripada tindakan tahunan terhadap pengikut ajaran Syiah sempena majlis pengkabungan 10 Muharram, atau Hari Asyura.

Minggu lalu, FMT melaporkan masjid-masjid di Selangor diarah untuk menyampaikan khutbah yang disediakan Jais, menyifatkan kepercayaan dan amalan Syiah sebagai sesat, jelek, karut dan meloyakan.

Teks khutbah disediakan Jais juga menyeru orang ramai menjadi “mata dan telinga” pihak berkuasa serta melaporkan sesiapa saja yang mengikuti ajaran itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.