Saya ajak penganut Kristian jadi rakyat baik, Steven jawab Tuan Ibrahim

Steven Sim Chee Keong. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Steven Sim Chee Keong hari ini tampil menjelaskan ucapannya di satu forum pada 14 Sept lalu, selepas pemimpin PAS mendakwa beliau mempromosi “The Kingdom of God” dan “The Jesus Manifesto” di satu forum.

Timbalan menteri belia dan sukan itu menjelaskan dia diundang ke forum “Anak Malaysia? Our story of past, present and future Malaysia” yang berlangsung dalam sebuah gereja untuk penganut Kristian, yang membincangkan tanggungjawab mereka sebagai rakyat.

Steven berkata dia dalam ucapannya mengajak penganut Kristian menjadi rakyat yang baik sambil merujuk kepada kitab suci mereka.

“Dalam ucapan saya, saya mengetengahkan nilai-nilai dalam Bible sebagai panduan menjadi warganegara yang baik, contohnya, keadilan, ketelusan, membantu golongan yang lemah dan miskin, menolak rasuah, penindasan dan perkauman.

“Saya tidak mengkritik atau menyentuh mana-mana agama, malah mengajak penganut Kristian untuk menjadi warganegara yang mengamalkan nilai-nilai tersebut,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu Pakatan Harapan jangan memomokkkan penyatuan ummah, walhal dalam masa sama pemimpin DAP mempromosi “The Kingdom of God” dan “The Jesus Manifesto” dalam satu forum Naratif Malaysia Baharu pada 14 Sept lalu.

“Adakah agenda Kristianisasi dalam politik Malaysia satu tindakan yang wajar?” katanya sambil mengggesa polis harus siasat tindakan Steven itu.

Dalam jawapannya, timbalan menteri menyeru Tuan Ibrahim menghormati kebebasan beragama dan berhenti menabur kebencian serta perpecahan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum.