
Setiausaha SPR Mohamed Elias Abu Bakar dalam kenyataan hari ini berkata, SPR menerima pemakluman rasmi daripada Yang Dipertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof hari ini berhubung kekosongan luar jangka kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Dr Md Farid Md Rafik pada Sabtu lepas.
Mesyuarat khas yang akan dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Azhar Harun itu akan membincangkan tarikh penting PRK seperti tarikh writ pilihan raya, hari penamaan calon, hari pengundian, daftar pemilih yang akan digunakan dan persiapan lain yang diperlukan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut, katanya.
Mohamed Elias berkata, mengikut peruntukan undang-undang, SPR perlu mengadakan PRK bagi kerusi Parlimen tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan.
Md Farid, 42, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri meninggal dunia di Hospital Pontian akibat serangan jantung.
Beliau memenangi kerusi Parlimen Tanjung Piai pada pilihan raya umum Ke-14 dengan majoriti 524 undi mengalahkan calon Barisan Nasional dan PAS.