
Acara itu yang diadakan pada Selasa di sisi Perhimpunan Agung Tahunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dikecam China.
Dalam menonjolkan penindasan ke atas etnik Uighur dan orang Islam lain di China, Timbalan Setiausaha Negara John Sullivan berkata PBB dan negara anggotanya ada “tanggungjawab untuk bersuara apabila mangsa demi mangsa yang selamat menceritakan detik-detik ngeri penindasan kerajaan (China).”
Sullivan berkata negara anggota PBB perlu memastikan badan dunia itu dapat memantau secara teliti pencabulan hak asasi manusia oleh China.
Beliau menambah PBB perlu mendapatkan akses “segera, tidak dihalang dan tidak diawasi” untuk Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia (UNHCR) ke Xinjiang.
Sullivan berkata acara itu ditaja bersama oleh Kanada, Jerman, Belanda dan Britain, dan disertai lebih 30 negara PBB, wakil Kesatuan Eropah (EU) dan lebih 20 organisasi bukan kerajaan, serta mangsa Uighur.
“Kami menjemput orang lain menyertai usaha antarabangsa menuntut dan memaksa menamatkan penindasan China dengan kadar segera,” kata beliau.
“Sejarah akan menilai komuniti antarabangsa bagaimana kita bertindak balas terhadap serangan terhadap hak asasi manusia dan kebebasan asasi.”
Dalam pada itu, Paola Pampaloni, timbalan pengarah urusan untuk Asia di Perkhidmatan Tindakan Luar Eropah, berkata EU “terkejut” dengan keadaan itu dan turut mendesak agar diberikan akses yang “bermakna” ke Xinjiang.
“Kami bimbang berhubung… maklumat mengenai penganiayaan dan penyeksaan,” kata beliau.
“China sentiasa menjemput kami ke kem-kem yang ada di bawah keadaan mereka, kami sedang dalam rundingan sekarang untuk terma dan syarat bagi akses yang bebas.”
Pada Isnin, Presiden AS Donald Trump menggesa agar dihentikan penganiayaan agama semasa satu acara lain di luar perhimpunan PBB dan mengulangi pendiriannya semasa berucap pada Selasa.
Trump, yang berhati-hati dari menyinggung China mengenai isu-isu hak asasi manusia ketika sedang mengadakan perundingan perjanjian perdagangan utama dengan Beijing sebagai keutamaan, memberitahu kebebasan beragama yang terancam semakin meningkat di seluruh dunia tetapi tidak menyebut secara khusus membabitkan keadaan Uighur.
“Jumlah dagangan meningkat pada kadar yang kami harap, diharap kerajaan Beijing akan mengiktiraf bukan sahaja AS tetapi kebimbangan global mengenai keadaan ini,” kata David Stilwell, Penolong Setiausaha AS bagi Biro Hal Ehwal Asia Timur dan Pasitif kepada
pemberita pada satu taklimat.
“Kami akan melihat bagaimana ia bergerak dan bagaimana Beijing bertindak balas dan kita akan bertindak dari sana.”
Seorang wakil delegasi China ke Perhimpunan Agung PBB menuduh Washington melanggar Piagam PBB dengan mengkritik China.
PBB mengatakan sekurang-kurangnya satu juta orang etnik Uighur dan Islam yang lain telah ditahan dalam apa yang digambarkan oleh China sebagai “pusat latihan vokasional” bagi memerangi ekstremisme dan memberi mereka kemahiran baru.