Buku Irshad Manji: Mahkamah batal keputusan dakwa anak Zaid Ibrahim

Buku Irshad Manji: Mahkamah batal keputusan dakwa anak Zaid Ibrahim

Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan ketua pendakwa syarie Selangor untuk mendakwa Ezra Zaid di Mahkamah Syariah kerana menerbit, mengedar dan memiliki buku Irshad Manji.

Ezra Zaid.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Rayuan hari ini membatalkan keputusan ketua pendakwa syarie Selangor untuk mendakwa Pengarah ZI Publications Sdn Bhd, Mohd Ezra Mohd Zaid di Mahkamah Syariah kerana menerbit, mengedar dan memiliki buku terjemahan penulis kontroversi Irshad Manji, yang dianggap bertentangan dengan undang-undang Islam.

Panel tiga hakim Umi Kalthum Abdul Majid, Hasnah Mohammed Hashim dan Suraya Othman turut memerintahkan ganti rugi ditaksir kerana tekanan jiwa, penderitaan dan keseksaan yang dialami oleh Ezra berikutan tindakan salah laku Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terhadapnya.

Dalam keputusan sebuat suara itu, Umi Kalthum yang mempengerusikan panel tersebut menghantar balik kes itu ke Mahkamah Tinggi untuk pengurusan kes bagi pentaksiran ganti rugi 9 Okt ini.

Beliau turut mengarahkan JAIS, ketua pengarahnya, ketua pegawai penguat kuasa, ketua pendakwa syarie Selangor dan kerajaan Selangor membayar kos RM10,000 kepada Ezra.

Umi Kalthum turut membenarkan sebahagian daripada rayuan Ezra dan memberikan suatu perintah certiorari bagi membatalkan tangkapan serta pendakwaan oleh ketua pendakwa syarie Selangor.

ZI Publication dan Mohd Ezra memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 7 Mac tahun lalu yang menolak permohonan semakan kehakiman mereka berhubung rampasan 180 naskah buku terjemahan “Allah, Kebebasan dan Cinta” oleh penulis warga Kanada itu.

Dalam permohonan itu, mereka memohon perintah certiorari bagi membatalkan tindakan pegawai Jais yang menggeledah, merampas dan menyita 180 buku pada 29 Mei 2012 di premis perniagaan ZI Publications, B-2-19, Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan 1, PJU 3, Petaling Jaya, Selangor.

Mereka juga memohon agar semua buku setebal 388 muka surat yang disita itu dikembalikan.

Selain itu, kedua-dua pihak itu memohon perintah certiorari bagi membatalkan tangkapan bertarikh 29 Mei 2012 dan pendakwaan oleh Jais terhadap Ezra.

Terdahulu, peguam Fahri Azzat, yang mewakili Ezra, memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya perlu kembali ke Mahkamah Syariah bulan depan bagi menghadapi perbicaraan yang berlangsung di peringkat pendakwaan.

Ezra, 36, sebelum ini mengaku tidak bersalah atas tuduhan pilihan iaitu menerbit, mengedar dan memiliki buku berkenaan di Mahkamah Rendah Syariah pada 2013.

Peguam pihak responden diketuai Penolong Penasihat Undang-undang Selangor, Siti Fatimah Talib bagi pihak Jais, ketua pendakwa syarie Selangor dan kerajaan Selangor manakala kerajaan Malaysia di wakili Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan.

Fahri kemudian memberitahu pemberita bahawa berikutan keputusan Mahkamah Rayuan itu, pihak responden perlu memaklumkan kepada Mahkamah Syariah bahawa mereka tidak boleh meneruskan pendakwaan terhadap Ezra.

Ezra pula berkata: “Ini adalah hari yang penting. Saya amat gembira dengan keputusan ini dan ia adalah sesuatu yang diusahakan selama tujuh setengah tahun oleh peguam dan keluarga.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.