Lebih 200 gempa susulan selepas gegaran berskala 6.5 terus ancam Ambon

Lebih 200 gempa susulan selepas gegaran berskala 6.5 terus ancam Ambon

Lebih 100 orang cedera dan ribuan penduduk Kota Ambon dan Maluku Tengah ditempatkan di pusat pemindahan sementara, berikutan gempa susulan masih berterusan berlaku.

Gempa semalam yang berpusat 40km timur laut Ambon-Maluku menyebabkan penduduk panik dan bergegas ke kawasan tinggi kerana bimbang ancaman tsunami. (Gambar Twitter)
JAKARTA:
Jumlah mangsa gempa bumi bermagnitud 6.5 skala Richter di Maluku, Indonesia semalam meningkat kepada 23 orang.

Menurut Badan Nasional Penanggulangan Bencana (BNPB) (badan pengurusan bencana kebangsaan), lebih 100 orang dicatatkan mengalami kecederaan dan ribuan penduduk di Kota Ambon dan Maluku Tengah ditempatkan di pusat pemindahan sementara, berikutan gempa susulan masih berterusan berlaku.

Berdasarkan gambar yang dikongsi BNPB, puluhan bangunan dan rumah di kota Ambon dan Kabupaten (daerah) Maluku Tengah, rosak teruk, manakala jalan raya serta jambatan juga retak.

Menurut ketua Pusat Data, Informasi dan Hubungan Masyarakat BNPB, Agus Wibowo, pihak berkuasa tempatan masih menaksir kerosakan harta benda dan masih mengesan mangsa yang terkorban.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia, sebanyak 264 gempa susulan (bermagnitud bawah 5 skala Richter) dicatatkan berlaku sehingga pukul 12 tengah hari ini (waktu Indonesia Timur), selepas gempa 6.5 skala Richter semalam, yang sebelum itu dicatatkan berskala 6.8.

Gempa semalam yang berpusat di 40km timur laut Ambon-Maluku pada kedalaman 10km menyebabkan penduduk tempatan panik dan bergegas ke kawasan tinggi kerana bimbangkan ancaman tsunami, walaupun tiada ancaman tsunami dikeluarkan BMKG.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.