
Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengumumkan di Petaling sejumlah 72 peratus daripada 132,953 akaun terjejas menerima bekalan air, di Hulu Langat 96 peratus daripada 114,018 akaun, di Kuala Langat 61 peratus daripada 49,180 akaun, dan di Sepang 85 peratus daripada 75,880 akaun.
“Kami sedang berusaha meningkatkan tekanan dan aliran di sistem agihan dan mempercepatkan proses pemulihan,” kata Air Selangor dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, bantuan lori-lori tangki air terus digerakkan dan 10 pusat khidmat setempat akan terus beroperasi 24 jam sehari sehingga bekalan air pulih sepenuhnya.
Semalam, Loji Rawatan Air Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya selepas berlaku insiden pencemaran bau dengan bacaan lima ton di sumber air mentah Sungai Semenyih.
Sebanyak 204 kawasan melibatkan 372,031 akaun pelanggan berdaftar terjejas dengan gangguan bekalan air tidak berjadual, ekoran insiden pencemaran bau yang didakwa berpunca dari Loji Rawatan Kumbahan di Bandar Bukit Mahkota.
Menurut Bernama, Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) menegaskan isu penutupan Loji Rawatan Air Sungai Semenyih itu bukan berpunca daripada operasi rawatan air sisa kumbahan di loji IWK, sebaliknya berlaku pembuangan sisa tidak dibenarkan secara haram berdekatan dengan loji IWK.
Menurut kenyataan IWK, petugas IWK bersama pasukan Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (Luas), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Air Selangor membuat pemeriksaan di loji terbabit dan mendapati punca bau itu berasaskan bau bahan kimia dan berada dua kilometer dari loji IWK.
“IWK dan JAS telah membuat laporan polis mengenai pembuangan sisa secara haram berkenaan. Pada kira-kira 10 malam, bersama bantuan pihak polis, IWK telah membuka lurang pembetungan (manhole) di sekitar kawasan terbabit dan mendapati bau berkenaan bermula di lurang pembetungan terbabit,” menurut kenyataan itu.
Luas dan Air Selangor telah melakukan pemeriksaan ulangan di loji IWK pada 1 pagi dan Luas membenarkan IWK untuk meneruskan operasi seperti biasa.