Mari bincang aduan pencemaran, Johari Abdul beritahu persatuan

Mari bincang aduan pencemaran, Johari Abdul beritahu persatuan

Ahli Parlimen Sungai Petani saran PTAS suarakan kekecewaan kepada Menteri Zuraida Kamaruddin yang mahu buka semula lesen kitar semula.

Persatuan Tindakan Alam Sekitar Sungai Petani (PTAS) menunjuk perasaan terhadap pencemaran alam oleh kilang plastik minggu lepas.
GEORGE TOWN:
Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul hari ini berkata sebuah persatuan alam sekitar tidak pernah memintanya mengadakan mesyuarat di kawasannya mengenai kilang kitar semula haram.

Beliau mengulas komen oleh seorang aktivis, Mariam Mokhtar hari ini bahawa Johari enggan bertemu Persatuan Tindakan Alam Sekitar Sungai Petani (PTAS) untuk mendengar kebimbangan mereka mengenai kilang kitar semula haram yang membuang buangan di situ.

“Kali terakhir Ong mendatangani saya adalah pada Jun, bersama satu memorandum. Selepas itu, dia tidak pernah minta saya adakan mesyuarat.

“Saya sedia bertemu mereka. Beritahu saya tarikh, masa dan tempat, dan kita akan berjumpa,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata PTAS bebas menyuarakan perasaannya dalam apa cara pun, termasuk menunjuk perasaan, dan dia sedia mendengar aduan mereka.

“Jika mereka mahu menunjuk perasaan, seperti di Hong Kong, mereka boleh berbuat demikian. Tetapi saya masih tak faham sebab sebenar mereka.

Ahli Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul.

“Mereka kata keadaan pencemarannya seperti di Pasir Gudang, Johor tetapi adakah sesiapa jatuh sakit?” katanya.

Dalam komennya di FMT hari ini, Mariam membidas Johari kerana menolak kebimbangan PTAS, walaupun kumpulan itu mempunyai keterangan mengenai kewujudan lebih 20 kilang haram. PTAS mendakwa beberapa kilang yang “ditutup” masih beroperasi.

“Daripada bertemu penduduk, Johari bersikap defensif dan berkata penunjuk perasaan tidak mempunyai fakta yang tepat. Beliau menuduh orang luar, bukan penduduk Sungai Petani, main peranan dalam merancang dua perhimpunan.

“Memburukkan lagi keadaan, beliau mendakwa pegawai jabatan alam sekitar tempatan dan ahli majlis tempatan menasihat beliau bahawa hanya kilang-kilang berlesen dibenarkan beroperasi.

“Adakah Johari seorang wakil rakyat yang naif, jahil, atau tidak tau?”

Tanya Zuraida

Mengulas isu kilang kitar semula haram dan tempat buangan sampah di Sungai Petani, Johari berkata kerajaan Kedah dan pihak berkuasa tempatan berusaha menutup tempat-tempat itu tanpa mengenal penat.

Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar dan agensi lain mengambil tindakan susulan ke atas aduan PTAS tetapi mendapati aduan pencemaran udara itu tidak benar.

PTAS berkata pembakaran dari kilang kitar semula plastik haram menyebabkan kualiti udara yang tidak baik tahun lalu.

“Anda tak boleh letak pegawai penguatkuasa di setiap kawasan di Sungai Petani. Sisa plastik haram bukan sahaja masalah di sini tetapi juga di negeri-negeri lain,” katanya.

Johari berkata seruan PTAS menyeru semua kilang kitar semula di Sungai Petani ditutup juga tidak betul kerana ia tidak adil bagi kilang-kilang yang beroperasi secara sah sejak kira-kira 15 tahun lalu.

“Tetapi saya setuju kita tidak boleh benarkan kilang-kilang baru. Tetapi kalau kita tutup semula kilang-kilang itu, kira-kira 3,000 pekerja akan hilang pekerjaan,” katanya.

Johari menyarankan PTAS suarakan kekecewaan terhadap keputusan kerajaan persekutuan membenarkan lebih banyak kilang kitar semula plastik.

Beliau menjelaskan kerajaan Kedah dan Majlis Perbandaran Sungai Petani berikrar untuk tidak mengeluarkan lesen operasi kepada kilang kitar semula plastik tetapi Putrajaya membolehkan.

“Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin mahu buka semula lesen kitar semula. PTAS patut kejar menteri itu. Kemudian baru pihak berkuasa tempatan boleh bertindak.

“Sekarang, anda meletakkan pihak berkuasa tempatan dalam keadaan yang sukar.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.