
Azhar berkata SPR terpaksa melakukan semakan sendiri selepas mendapati JPN menyenaraikan beberapa individu berusia 150 tahun masih hidup.
“Walaupun kita dapat status daripada JPN yang berusia 150 tahun masih hidup, persoalannya adakah pegawai pendaftar (SPR) berpuas hati bahawa 150 tahun masih hidup.
“Peruntukan undang-undang memerlukan pegawai pendaftar berpuas hati. Kalau tidak puas hati, maka SPR kena turun padang dan semak,” katanya ketika ditemui selepas program libat urus Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) di Menara Integriti hari ini.
Menurut Azhar, dianggarkan terdapat 76,000 pengundi berusia 90 tahun ke atas berdasarkan data JPN itu.
“Kita cuba turun ke peringkat bawah setakat kita boleh sebab pekerja bukan ramai sangat,” katanya.
Sambil itu, SPR turut membuat semakan dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, bank, pembekal perkhidmatan talian telefon dan Astro.
Ditanya adakah rakyat berusia 18 tahun sudah boleh mula mengundi pada pilihan raya kecil Tanjung Piai 16 Nov ini, Azhar berkata tidak boleh kerana undang-undang berkaitan belum dikuatkuasakan.
Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang menurunkan had umur kelayakan mengundi kepada 18 tahun diluluskan Dewan Rakyat pada Jun lalu, dan diwartakan pada 10 Sept lepas.
“Tidak boleh lagi sebab belum dikuatkuasakan lagi,” katanya.