Mustahil saksi PAC dilatih jawab soalan, kata Rahman Dahlan

Mustahil saksi PAC dilatih jawab soalan, kata Rahman Dahlan

Anggota-anggota pembangkang dalam PAC biasanya akan menyoal siasat saksi dalam pendengaran dan mereka hanya akan berhenti setelah tiada lagi soalan yang hendak ditanya.

Bekas menteri Abdul Rahman Dahlan berkata tiada siapa pun yang boleh menjangka atau menentukan keputusan pendengaran PAC. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas menteri, Abdul Rahman Dahlan berkata “mustahil” untuk melatih mana-mana saksi dalam pendengaran membabitkan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) termasuk dalam isu membabitkan 1MDB.

Mengulas mengenai keterangan yang dibuat di mahkamah baru-baru ini, Rahman berkata, anggota-anggota pembangkang dalam PAC biasanya akan menyoal siasat saksi-saksi dalam pendengaran-pendengaran PAC dan mereka hanya akan berhenti setelah tiada lagi soalan yang hendak ditanya.

“Dan, inilah yang sepatutnya berlaku!

“Oleh yang demikian, tiada siapa pun yang boleh menjangka atau menentukan keputusan pendengaran PAC, kerana tiada siapa pun boleh mengurus dan menjangka apakah yang akan ditanya oleh ahli-ahli parlimen pembangkang dalam pendengaran PAC. Ianya mustahil!,” kata beliau dalam kenyataan dihantar dari Mekah hari ini.

Beliau berkata, sekiranya benar saksi telah dilatih atau wujudnya pakatan, kenapakah anggota-anggota PAC, dari BN dan pembangkang, sebulat suara telah bersetuju meletakkan tanggungjawab kelemahan pengurusan 1MDB, di atas bahu pihak pengurusan syarikat yang mana bekas ketua pegawai eksekutif Shahrol Azral Ibrahim Halmi merupakan sebahagian daripadanya.

“Apa-apa pun, kes ini masih berlangsung di mahkamah dan kita harus menunggu soalan balas terhadap saksi tersebut sebelum kita membuat apa-apa kesimpulan,” kata beliau.

Selasa lalu, Shahrol memberitahu mahkamah beliau dilatih untuk tidak menghebohkan peranan Najib Razak dan ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho dalam syarikat berkaitan kerajaan itu.

Katanya, ia dilakukan orang yang rapat dengan Najib apabila beliau disoal PAC, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2010 hingga 2016.

Saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low memberi “talking points” kepadanya menjelang satu mesyuarat PAC pada 2010.

“Dia turut mengatur pertemuan saya dengan dua ahli PAC Barisan Nasional sebelum sesi itu,” katanya.

“Seorang daripada mereka ialah Abdul Rahman Dahlan mengenai jenis soalan yang akan ditanya ahli PAC.”

Katanya, beliau disoal mengenai peranan Najib dan Jho Low dalam proses pembuat keputusan 1MDB.

“Pada asasnya, saya perlu melindungi mereka berdua.”

Beliau turut menyentuh mesyuarat PAC kedua pada 2015, di mana CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy memintanya tidak hadir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.