
Jawatankuasa Pemantauan Dewan, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar dan Jawatankuasa Perisikan telah menghantar sepucuk surat kepada pemangku ketua turus Trump, Mick Mulvaney.
Pada Rabu, dalam satu memo yang memaklumkan jawatankuasanya berkaitan hasrat mengeluarkan sepina itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemantauan Dewan Elijah Cummings berkata White House telah berulang kali enggan mematuhi permintaan mereka sebelum ini yang bermula pada 9 Sept untuk membekalkan dokumen terbabit.
“Kami amat mengesali bahawa Presiden Trump telah meletakkan kami dan negara dalam situasi ini, tetapi tindakan beliau menyebabkan kami tidak mempunyai pilihan selain mengeluarkan sepina ini,” menurut Cummings yang menulis surat itu bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Perisikan Adam Schiff dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Eliot Engel.
Surat itu memberikan tempoh sehingga 18 Okt kepada Rumah Putih untuk memenuhi permintaannya.
Sementara itu, agensi berita China Xinhua melaporkan bahawa ketiga-tiga pengerusi jawatankuasa terbabit, dalam sepucuk surat lain, turut meminta Naib Presiden Mike Pence menyerahkan beberapa dokumen sebagai sebahagian daripada inkuiri pemecatan jawatankuasa pada 15 Okt.
Dewan Perwakilan memulakan siasatan pemecatannya terhadap Trump minggu lepas. Isu yang dibangkitkan ialah perbualan telefon pada 25 Julai antara beliau dengan Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky yang menyaksikan Trump berulang kali menggesa agar siasatan dilakukan ke atas bekas Naib Presiden Joe Biden dan anak lelakinya, Hunter, berhubung dakwaan rasuah.
Biden senior merupakan calon Parti Demokrat yang sedang mendahului dalam pilihan raya presiden tahun depan, menjadikan beliau seorang pesaing politik Trump.
Mendapatkan bantuan pemimpin asing untuk menyiasat Biden telah mencetuskan persoalan berkaitan campur tangan dalam pilihan raya yang menjadi asas siasatan pemecatan Dewan Perwakilan.
Trump telah menafikan sebarang salah laku dan berkata perbualan telefonnya dengan Zelensky adalah tanpa “sebarang cacat cela” sambil berusaha menggugat aduan pemberi maklumat yang membawa isu perbualan telefon itu serta hal-hal lain yang berkaitan ke pengetahuan umum.