7 ditahan, cubaan hidupkan LTTE di Malaysia, kata polis

7 ditahan, cubaan hidupkan LTTE di Malaysia, kata polis

Polis Bukit Aman berkata, dua Adun DAP dari Melaka dan Negeri Sembilan itu bersama lima suspek lain berada dalam pemantauan polis sejak Nov lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis mengesahkan tujuh individu termasuk dua Adun DAP ditahan hari ini kerana ada usaha untuk menghidupkan balik Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) di Malaysia, selepas kumpulan pengganas itu terkubur susulan kematian pengasasnya dalam operasi ketenteraan kerajaan Sri Lanka 10 tahun lalu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Counter Terrorism (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua Adun DAP masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan itu bersama lima suspek lain berada dalam pemantauan polis sejak Nov lalu.

Ketuju-tujuh mereka ditahan dalam operasi di Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Kedah dan Perak susulan risikan berperingkat dijalankan. Penahanan dilakukan dalam operasi polis Bukit Aman.

Ayob berkata kesemua mereka ditahan boleh melantik peguam selepas 48 jam ditahan.

Dua wakil rakyat ditahan terdiri daripada Exco Melaka yang juga Adun Gadek, G Saminathan serta Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran.

Ayob dalam sidang media yang diadakan di Bukit Aman sekitar 4 petang tadi menjelaskan alasan penahanan ketujuh-tujuh, iaitu:

  • Adun Gadek pada 28 Nov tahun lepas telah menghadiri program hari perwira LTTE di Melaka dan menyampaikan ucapan berunsur sokongan terhadap kumpulan LTTE dan beliau didapati mengedarkan risalah serta item-item yang berkaitan kumpulan itu dalam program tersebut.
  • Program itu turut dihadiri Adun Seremban Jaya di mana telah menyampaikan ucapan menyokong kumpulan LTTE dan mengedarkan item-item berkenaan kumpulan tersebut.
  • Di Rawang, Selangor penahanan melibatkan seorang lelaki berumuar 28, iaitu peniaga barang lusuh. Suspek merupakan penganjur majlis hari perwira LTTE di Kuala Lumpur setiap tahun. Dia juga memiliki dan mempunyai item-item berkaitan kumpulan pengganas LTTE. Suspek juga pernah disabit kesalahan mencederakan pesuruhjaya tinggi Sri Lanka di KLIA pada 4 Sept 2016, dan didenda RM10,000.
  • Individu keempat merupakan seorang lelaki berusia 38 tahun di Kuala Lumpur, bekerja sebagai ejen insurans, disyaki merancang untuk melancarkan serangan terhadap suruhanjaya tinggi Sri Lanka di Kuala Lumpur dan turut memiliki dan menyimpan item-item berkaitan dengan kumpulan pengganaas antarabngasa.
  • Suspek kelima, dari Sungai Siput, Perak – lelaki berusia 37 tahun, pemandu teksi. Suspek pernah menyertai perjumpaan sulit di Sungai Siput untuk merekrut dan menyebarkan propoganda kumpulan pengganas LTTE di malaysia, turut menyimpan dan memiliki item yang berkenaan dengan LTTE. Juga terlibat dalam insiden mencederakan pesuruhjaya tinggi Sri Lanka di KLIA pada Sept 2016 dan didenda RM10,000.
  • Suspek keenam dari Kulim, Kedah – lelaki berusia 27 tahun, seorang juruteknik. Suspek menyokong dan memiliki item-item berkaitan dengan LTTE.
  • Suspek ketujuh ditangkap di Sg Buloh, Selangor – seorang lelaki berusia 57 tahun, bekerja sebaga peniaga kedai makan, suspek menyokong mempromomosilkan kumpulan pengganas LTTE menerusi media sosial.

Ditahan di bawah Sosma

Kesemua suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) selama 28 hari.

“Ada pihak-pihak tertentu dari luar cuba mengaktifkan LTTE di negara ini. Kami ambil tindakan untuk tangkap kerana kami tidak mahu biarkan mereka berkembang,” kata beliau.

Beliau berkata secara keseluruhan seramai 25 individu ditahan kerana disyaki terlibat dengan LTTE di negara ini sejak 2009.

“Itu hak mereka lantik peguam lepas 48 jam, mereka ada hak, ini bukan tahanan tampa bicara, tidak ada istilah tahanan tanpa bicara dalam Sosma,” katanya.

Ketika ditanya sama ada akan ada lagi ahli politik yang akan ditahan dan disasarkan, Ayob berkata pihaknya akan membuat tangkapan jika cukup bukti.

“Kita polis tidak kira siapa individu tersebut, jika terlibat dengan aktiviti keganasan tidak kira dari parti mana, agama mana, bangsa mana, asal kalau terlibat dengan keganasan kita akan tangkap,” katanya.

LTTE yang diketuai V Prabhakaran melancarkan pemberontakan untuk mewujudkan wilayah autonomi Tamil Eelam di utara Sri Lanka, apabila golongan majoriti Sinhala menindas masyarakat minoriti Tamil.

Kempen keganasan LTTE mendapat sokongan moral dan pembiayaan pelbagai pihak, termasuk diaspora Tamil yang bersimpati dengan nasib masyarakat Tamil di negara itu.

LTTE yang dilaporkan tidak aktif lagi selepas Prabhakaran terbunuh dalam operasi ketenteraan kerajaan Sri Lanka, pernah disenarai hitam sebagai kumpulan pengganas dan diharamkan lebih 30 negara, termasuk Malaysia.

Mengulas bantahan segelintir pihak yang mempertahankan kumpulan LTTE dan menganggapnya sebagai isu perkauman, Ayob mengingatkan perkara itu tidak perlu dieksploitasi.

“Ini saya kata masalah ada pihak-pihak tertentu ini mereka akan mengeksploitasi menjadikan perkara ini isu perkauman.

“Kenapa sebelum ini tidak ada orang atau ahli politik pertikai bila kita tangkap, IS, Daesh, Sikhs for Justice, kenapa tidak persoal, kenapa bila kita tangkap pengikut LTTE yang datang daripada satu kaum terus cuma bawa isu perkauman, mereka eksploitasi.

“Jangan buat kenyataan kaitkan penahanan LTTE melibatkan kaum India, kita kata perkauman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.