Dana Belanjawan 2020 RM297 bilion, turun 5.57% banding 2019

Dana Belanjawan 2020 RM297 bilion, turun 5.57% banding 2019

Dalam Belanjawan 2019, yang diumumkan tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM314.5 bilion.

PETALING JAYA:
Belanjawan 2020 yang dirangka bertemakan “Memacu Pertumbuhan dan Keberhasilan Saksama Ke Arah Kemakmuran Bersama” menyediakan peruntukan sebanyak RM297 bilion – turun 5.57% berbanding 2019.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata jumlah itu tidak termasuk simpanan luar jangka RM2 bilion. Ini merupakan peningkatan RM19.5 bilion berbanding RM277.5 bilion pada 2019 tanpa mengambil kira peruntukan secara one-off bagi bayaran balik GST dan cukai pendapatan tertunggak.

Dalam Belanjawan 2019, yang diumumkan tahun lalu, kerajaan memperuntukkan RM314.5 bilion.

Dana RM297 bilion bersamaan dengan 18.4% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), dengan 81.4% atau RM241 bilion adalah untuk perbelanjaan mengurus (OE) manakala baki RM56 bilion bagi perbelanjaan permbangunan (DE).

“Kerajaan komited untuk menstabilkan semula kedudukan kewangan kerajaan, dan meneruskan matlamat Wawasan 2020 dengan trajektori pertumbuhan baharu berasaskan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad,” kata beliau di Parlimen hari ini.

Belanjawan ini merangkumi RM241 bilion yang diperuntukkan untuk Perbelanjaan Mengurus manakala bakinya RM56 bilion untuk Perbelanjaan Pembangunan.

Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2020 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, kerajaan akan menyalurkan peruntukan bagi mengukuhkan pembentukan modal untuk memastikan kemampanan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.

“Sehubungan itu, suntikan tambahan sebanyak 0.2% daripada KDNK disediakan menerusi DE untuk mempercepat pelaksanaan projek dengan kesan pengganda tinggi dan strategik seperti pembinaan landasan kereta api dan jalan raya, menaik taraf sekolah, klinik serta memperluas jaringan infrastruktur jalur lebar di pinggir bandar,” demikian menurut laporan itu.

Peruntukan bagi perbelanjaan mengurus dianggar meningkat sebanyak tujuk peratus kepada RM241 bilion berbanding RM225.3 bilion pada 2019 tanpa mengambil kira peruntukan tunggakan bayaran balik cukai secara ‘one-off’ (sekali) sebanyak RM37 bilion dengan sebahagian besarnya disalurkan untuk emolumen diikuti perkhidmatan dan bekalan, bayaran khidmat hutang, bayaran persaraan serta subsidi dan bantuan sosial.

Kerajaan juga, menurut laporan itu, akan menyediakan Bantuan Sara Hidup berjumlah RM5 bilion pada 2020 bagi mengurangkan beban kewangan penerima.

Selain itu, bayaran khidmat hutang Kerajaan Persekutuan dijangka mencatat RM34.9 bilion.

“Daripada jumlah ini, sebanyak 97.7% diperuntukkan untuk pembayaran kupon atas hutang dalam negara terutamanya untuk Sekuriti Kerajaan Malaysia dan Terbitan Pelaburan Kerajaan Malaysia manakala baki adalah pinjaman luar pesisir.”

Peruntukan juga disediakan untuk pelan rasionalisasi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan dan Lembaga Tabung Haji serta komitmen khidmat hutang yang tinggi oleh SRC International Sdn Bhd.

Di bawah DE, peruntukan akan disalurkan bagi menggalakkan pembangunan ekonomi, merapatkan jurang infrastruktur antara bandar dan luar bandar serta meningkatkan taraf hidup rakyat.

Laporan tersebut juga menjangkakan sektor ekonomi menerima peruntukan sebanyak RM31 bilion berbanding RM28.8 bilion pada 2019 sejajar dengan usaha untuk meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi.

“Subsektor pengangkutan kekal sebagai penerima terbesar yang merangkumi 21.8% daripada DE iaitu RM12.2 bilion.”

Antara projek di bawah subsektor ini termasuk Projek Aliran Transit Massa 2 (MRT2), Projek Naik Taraf Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) dan Lebuh Raya Pan Borneo; perluasan lapangan terbang di Sandakan dan Kota Bharu serta menyenggara dan menaik taraf jalan raya, jambatan, pelabuhan dan landasan kereta api.

Bagi sektor sosial, perbelanjaan dianggarkan pada RM15.1 bilion dengan RM7.9 bilion diperuntukkan untuk subsektor pendidikan dan latihan termasuk membina semula sekolah daif di seluruh negara serta mengubai suai dan menambah baik infrastruktur sekolah.

Subsektor kesihatan pula akan menerima RM2.9 bilion dengan peruntukan disalurkan terutamanya untuk membina, menaik taraf dan menyenggara hospital dan klinik serta perolehan peralatan perubatan.

“Projek utama yang sedang dalam pelaksanaan di bawah subsektor ini termasuk pembinaan Hospital Kemaman dan makmal patologi di Hospital Sultanah Aminah dan perluasan Hospital Segamat (di Johor) dan menaik taraf Hospital Kajang (Selangor).”

Sektor keselamatan yang terdiri daripada pertahanan dan keselamatan dalam negara akan diperuntukkan anggaran perbelanjaan sebanyak RM6.6 bilion dengan RM3.2 bilion akan diagihkan untuk subsektor pertahanan manakala RM3.4 bilion bagi keselamatan dalam negara.

“Perbelanjaan ini terutamanya untuk membangunkan perkhidmatan rangkaian bersepadu dan mengukuhkan pertahanan awam, menaik taraf peralatan ketenteraan dan keselamatan serta meningkatkan pengawasan dan penguatkuasaan,” kata laporan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.