
“Saya akan pastikan siasatan ke atas perkara itu akan dilakukan secara adil jika Suaram datang ke hadapan.
“Sementara itu dari pihak saya, saya percaya integriti dan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sedang meneliti perkara itu,” kata beliau selepas menghadiri acara sukan bulanan polis di Bukit Aman.
Hamid mengulas tuntutan kumpulan hak asasi manusia itu semalam, yang mewakili Pukalanthee Rajoo dan Linggeswaran Pukalanthee.
Pengarah Eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy mendakwa dua beranak itu didera ketika berada dalam tahanan polis dari 21 hingga 25 Sept.
Sevan juga mendakwa polis gagal melakukan siasatan sebelum menangkap kedua-dua mereka.
Pukalanthee dan Linggeswaran yang turut hadir pada sidang media Suaram berkata, mereka diupah secara kontrak untuk menurap jalan di sebuah kawasan perumahan dan menyewa sebuah kereta untuk tujuan itu.
Katanya, mereka dimaklumkan seorang gadis mendapati tindakan mereka di kawasan itu mencurigakan sebelum membuat laporan polis dengan bantuan seorang jiran.
Mereka berkata, polis menghubungi agensi sewa kereta dan “mengumpan” mereka ke sebuah lokasi, di mana mereka “diserang hendap” pegawai bersenjata.
Menurutnya, mereka hanya diberitahu punca ditahan pada hari kedua penahanan dan kedua-duanya menafikan pernah menemui gadis yang membuat laporan polis itu.
Dalam perkembangan lain, Hamid berkata beliau menyambut baik rancangan kerajaan untuk mengadakan kamera litar tertutup (CCTV) yang akan dipasang di pusat tahanan polis di seluruh negara.
Katanya, penggunaan CCTV boleh membantu pegawainya mengelakkan tuduhan yang tidak diingini terhadap mereka kerana menyebabkan kematian seseorang dalam tahanan.
“Dengan CCTV, ada yang dapat membantu kami untuk membuktikan bahawa beberapa kematian berlaku dalam tahanan adalah kerana sebab-sebab yang tidak dijangka,” katanya.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng menerusi pembentangan Belanjawan 2020 berkata, Putrajaya memperuntukkan RM50 juta melalui Pusat Tadbir, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC) untuk memasang 11,500 CCTV di pusat tahanan polis dan pintu masuk imigresen.
Lim berkata kerajaan prihatin terhadap isu kematian dan penganiayaan terhadap suspek semasa dalam tahanan.