
Penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata Belanjawan 2020 gagal meyakinkan orang Melayu dan Islam apabila Janji 11 dan Janji 30 yang dibuat dalam manifesto PH tidak dilaksanakan.
“Janji 11 manifesto PH menyebut, prestasi dan pencapaian agenda memartabatkan maruah bangsa Melayu dan Islam akan dibentangkan dan dibahaskan di Parlimen setiap tahun supaya kerajaan sentiasa bertanggungjawab kepada rakyat keseluruhannya.
“Janji 30 pula menyatakan, untuk memastikan iltizam kerajaan berterusan membantu Bumiputera, kerajaan PH akan mengira secara tuntas dan menerbitkan kepada umum jumlah pegangan ekuiti Melayu dan Bumiputera.
“Kedua-dua laporan dalam Janji 11 dan Janji 30 manifesto PH menyatakan, ia akan dibentangkan di Dewan Rakyat, dalam setiap ucapan belanjawan dibuat menteri kewangan,” katanya kepada FMT.
Belanjawan 2020 merupakan belanjawan kedua dibentangkan PH selepas gabungan empat parti itu menewaskan Barisan Nasional pada PRU14.
Kamarul berkata, tidak dinafikan terdapat banyak inisiatif baru diperkenalkan dalam Belanjawan 2020, bagaimanapun inisiatif baru itu masih gagal menepati intipati yang terkandung dalam manifesto PH.
“Contohnya program #MalaysiaKerja yang akan mewujudkan tambahan peluang pekerjaan sebanyak 350,000 untuk rakyat Malaysia dalam masa lima tahun.
“Tetap masih tidak memenuhi janji asal PH dalam manifestonya untuk mencipta satu juta pekerjaan dengan gaji sekurang-kurangnya RM2,500 sebulan untuk anak muda dalam masa lima tahun pertama pentadbiran PH,” katanya.
Tambahnya, begitu juga dengan pengekalan Sabah dan Sarawak sebagai dua negeri menerima perbelanjaan pembangunan tertinggi dengan peruntukan lebih tinggi sebanyak masing-masing RM5.2 bilion dan RM4.4 bilion.
“Ia masih tidak memenuhi janji asal PH dalam manifestonya untuk mengkhususkan sehingga 30% daripada peruntukan perbelanjaan pembangunan setiap tahun untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.
Seorang lagi penganalisis politik dari UUM, Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata Belanjawan 2020 adalah belanjawan untuk memenangi hati rakyat, khususnya golongan B40 dan M40.
“Orang Melayu lebih marah dengan keadaan ekonomi mereka. Sekiranya Putrajaya dapat menawan hati golongan ini dari aspek ekonomi, maka kemarahan rakyat pada PH secara tidak langsung akan berkurangan,” katanya.
Azizuddin berkata, Belanjawan 2020 yang dilihat mesra B40 dan M40 ini juga dipercayai dibuat selepas PH mendapat kritikan hebat pembangkang yang mendakwa pakatan itu tidak mampu menangani masalah kos sara hidup rakyat.
“Namun, saya rasakan Belanjawan 2020 ini lebih bagus berbanding Belanjawan 2019. Kali ini coraknya nampak lebih berbeza. Lebih banyak perkara berkaitan rakyat disentuh secara terus.
“Bagaimanapun, Belanjawan 2020 ini juga memperlihatkan secara jelas Putrajaya sedar faktor luaran juga akan memberi impak kepada negara seperti perang perdagangan antarabangsa.”