
Ketua Wanita PH, Zuraida Kamarudin berkata, beliau sempat bertemu ibu Allahyarham Dr Md Farid, Norma Mohamed, 67, yang juga ketua Wanita PPBM di sini, hari ini.
“Beliau (Norma) juga ada berkongsi pandangan tentang gerak kerja PRK. Beliau bukan calang-calang wanita kerana adalah bekas ketua Wanita Umno Bahagian Tanjung Piai selama 30 tahun.
“Beliau berpengalaman sebagai penggerak dan menjalankan tugas-tugas pilihan raya bagi sayap Wanita.
“Jadi beliau akan mainkan peranan untuk kerusi Parlimen Tanjung Piai dikekalkan kemenangan kepada PH,” katanya kepada pemberita selepas melawat Balai Bomba dan Penyelamat Pekan Nanas, di sini hari ini.
Ditanya sekiranya Norma ataupun terdapat wanita lain bakal dicalonkan bertanding PRK itu, Zuraida yang juga naib presiden PKR berkata, beliau mengalu-alukannya kerana Johor memerlukan ramai wakil rakyat wanita dari PH.
“Kerusi ini (Parlimen Tanjung Piai) adalah kerusi milik PPBM. Saya serahkan kepada PPBM untuk mereka memikirkan calon yang layak.
“Kalau ada ruang dan peluang, saya alukan (calon wanita) dan akan jadi faktor tambahan untuk kemenangan,” katanya.
PRK Parlimen Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov manakala hari penamaan calon ditetapkan pada 2 Nov.
PRK berkenaan diadakan berikutan kematian Dr Md Farid, 42, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada 21 Sept lepas, akibat mengalami komplikasi jantung.