
Perdana menteri berkata, polis sudah memberi taklimat kepadanya dan beliau berpuas hati dengan penjelasan mereka.
Beliau turut mengulas kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy yang dipetik Malaysiakini semalam sebagai berkata, pendirian perdana menteri mengenai penahanan di bawah Sosma “sukar diterima” kerana Pakatan Harapan berjanji akan memansuhkan akta itu.
Ramasamy berkata, Mahathir sendiri pernah mengkritik Sosma dahulu.
Hari ini, Mahathir berkata, keadaan itu berbeza.
“Kami tidak mahu tahan orang sewenang-wenangnya. Ada sebabnya,” katanya selepas melancarkan Persidangan dan Pameran Peranti Perubatan hari ini.
“Jika Ramasamy tidak gembira, ia adalah okey. Dia boleh kata dia tidak puas hati.
“Hakikatnya, ia sudah berlaku dan ada alasan untuknya.”
Seramai 12 individu ditahan atas dakwaan ada kaitan dengan LTTE, termasuk Exco Melaku yang juga Adun Gadek, G Saminathan dan Adun Seremban Jaya, P Gunasekaran.