
Berpusat di bandar raya Masdar di sini, Universiti Kecerdasan Buatan Mohamad bin Zayed (MBZUAI) merupakan institusi berasaskan penyelidikan AI peringkat ijazah yang menawarkan pengkhususan pengajian bidang AI untuk pelajar tempatan dan antarabangsa.
MBZUAI antara lain menyediakan sistem dan teknologi AI paling canggih untuk pelajar dan penyelidik dalam mengembangkan potensi bidang itu dalam pembangunan ekonomi dan masyarakat.
Menteri Negara UAE dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah MBZUAI, Sultan Ahmed Al Jaber berkata: “Universiti Kecerdasan Buatan Mohamad bin Zayed adalah jemputan terbuka dari Abu Dhabi untuk dunia bagi terus memanfaatkan serta mengembangkan potensi sepenuh AI.”
Beliau berkata bakat dan institusi akademik adalah penting terutama apabila dunia melangkah ke era teknologi baharu dan AI menjadi keutamaan sebagai teknologi yang pesat berkembang dalam mengubah ekonomi dan sektor di dunia.
“AI boleh mendorong kepada transformasi masyarakat dan ekonomi yang lebih besar. Penggantungan terhadap AI akan membantu kita untuk lebih bersedia berdepan dengan cabaran masa depan serta menjana peluang,” katanya pada sidang media bagi mengumumkan penubuhan MBZUAI di sini, semalam.
MZBUAI dinamakan sebagai pengiktirafan terhadap kepercayaan Putera Mahkota Abu Dhabi dan Timbalan Komandan Tertinggi Angkatan Bersenjata UAE, Sheikh Mohamed bu Zayed Al Nahyan, dalam mentranformasikan kuasa ilmu dan pemikiran saintifik.
Antara objektifnya adalah untuk menyokong usaha Abu Dhabi membina dan mengekalkan ekonomi berasaskan AI serta menyokong kelompok inovasi UAE dan syarikat pemula niaga AI.
AI dijangka mempunyai kesan transformasi terhadap ekonomi global dengan para pakar menganggarkan bidang AI dapat menyumbang hampir AS$1.6 trillion (RM6.71 trilion) kepada ekonomi gobal menjelang 2030.
UAE telah memberi tumpuan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan dengan negara itu menjadikan AI sebagai strategik negara pada 2017 dengan mengumumkan pelan strategi hala tuju masa depan menjelang 2031.