Indonesia cadang model baru kejiranan perangi keganasan

Indonesia cadang model baru kejiranan perangi keganasan

Model baru kejiranan ini, tidak seperti yang lazim diamalkan, bukan untuk menjamin kawasan kediaman bebas daripada pencuri.

Gabenor Jawa Tengah Ganjar Pranowo. (Gambar Republika)
JAKARTA:
Gabenor Jawa Tengah, Indonesia, Ganjar Pranowo mencadangkan model baru memantau kejiranan bagi memerangi pelbagai bentuk ancaman keganasan dalam persekitaran mereka.

Model baru kejiranan ini, tidak seperti yang lazim diamalkan, bukan untuk menjamin kawasan kediaman bebas daripada pencuri.

“Tetapi untuk memastikan jiran dan tetamu mereka adalah orang yang baik tanpa sebarang masalah,” kata Ganjar dipetik Tempo Online.

Laporan itu berkata, Ganjar juga meminta semua komponen masyarakat memberi perhatian lebih kepada persekitaran kejiranan mereka.

Salah satu cara adalah dengan meningkatkan persahabatan antara orang ramai, termasuk tetamu mereka.

Dengan berbuat demikian, katanya, penduduk setempat akan mempunyai pemahaman tentang siapa jiran dan tetamu mereka.

“Saya meminta semua pemimpin masyarakat dan pegawai kerajaan di tahap paling rendah, seperti RT, untuk memantau dan melaksanakannya,” kata Ganjar.

Pandangan itu diberikan ekoran penangkapan yang meluas terhadap suspek pengganas oleh Densus 88 Skuad Anti Pengganas di Jawa Tengah.

Malah menurut Ganjar, dengan memperkukuhkan pengawasan kejiranan, pergerakan keganasan yang terkecil juga dapat dikesan.

Penduduk juga akan melihat sesiapa yang tidak mahu bersosial atau berinterasi dengan seluruh komuniti.

Ahli politik PDI Perjuangan berkata pengganas sukar untuk dikesan dari awal kerana mereka menyusup ke dalam dan bersepadu dengan masyarakat.

Bukan hanya di kalangan orang awam, katanya, tetapi juga dalam kerajaan, pendidikan dan agensi penguatkuasaan undang-undang seperti tentera dan polis.

“Mereka terus menyebarkan radikalisme dan keganasan di kalangan kita.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.