
“Apa yang berlaku di Hong Kong hari ini bukannya protes aman,” katanya dalam wawancara dengan AFP di Paris.
“Ini adalah tindakan tidak boleh diterima di mana-mana negara,” katanya sambil mendakwa penunjuk perasaan menyerang polis dan pejalan kaki serta menyebabkan sistem pengangkutan lumpuh.
Hong Kong berdepan protes semakin ganas hampir lima bulan dengan penunjuk perasaan menuntut demokrasi dan akauntabiliti polis yang lebih baik.
China memerintah Hong Kong di bawah model khas “satu negara, dua sistem” yang memberi kebebasan tertentu kepada pusat antarabangsa itu, tetapi pucuk pimpinannya perlu mengikut arahan Beijing.
“Ada kuasa asing yang menggalakkan keganasan sedemikian di jalanan untuk mengganggu kestabilan Hong Kong, menimbulkan huru-hara…menghapuskan kemajuan bersejarah yang dicapai sejak dasar ‘satu negara, dua sistem’ dilaksanakan.
“Tindakan sedemikian tidak akan berjaya,” kata Wang sambil bertegas kerajaan Hong Kong mampu mewujudkan semula “susunan sosial dan rasa hormat terhadap kedaulatan undang-undang”.
Katanya, dengan “sokongan dari Beijing, Hong Kong boleh terus menggunakan formula satu negara, dua sistem”.
Wang turut mengkritik media asing dengan berkata, sesetengah daripada mereka “menggelar keganasan ini demokratik dan aman, tanpa menghiraukan realiti”.
Katanya, media terbabit “tidak teragak-agak menyifatkan tindakan polis sebagai ganas. Jika dakwaan sedemikian boleh dianggap realiti, bagaimana kita dapat membayangkan keadilan masih wujud di dunia ini”?
Petang semalam, puluhan ribu penunjuk perasaan di Hong Kong menyertai perhimpunan haram yang aman sebelum ia menjadi huru-hara apabila sekumpulan kecil penunjuk perasaan tegar melontar bom petrol dan batu ke sebuah balai polis, premis perniagaan China dan beberapa pintu masuk stesen kereta api bawah tanah.
Polis bertindak balas dengan melepaskan gas pemedih mata, menggunakan peluru getah dan semburan air dalam pertempuran yang berlarutan sehingga malam.