
Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti (SC), Syed Zaid Albar berkata kini terdapat 21 platform pendanaan awam ekuiti (ECF) dan platform pembiayaan Rakan-kepada Rakan (P2P) yang berdaftar dengan SC, dan secara kolektifnya telah mengumpul RM587 juta untuk lebih 1,600 MSME.
“Platform ini akan terus memberi perkhidmatan kepada beberapa sektor MSME termasuk dalam sektor berteknologi tinggi, pendidikan, runcit, makanan dan minuman, dan pelabur muda di bawah 35,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan edisi keenam persidangan SCxSC Fintech di sini hari ini.
Beliau berkata susulan minat yang semakin meningkat ke atas fintech, penggiat wajar memberi perhatian kepada pasaran modal Islam, bukan hanya dari segi sukuk dan ekuiti, bahkan ke atas pengurusan dana.
“Kami percaya bahawa fintech Islam adalah segmen pasaran yang belum dimanfaatkan dalam ekosistem semasa, dan mempunyai potensi besar untuk dimanfaatkan,” katanya.
Dari aspek digital, Syed Zaid berkata potensi teknologi ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya dalam mempromosikan pasaran modal, kerana ia boleh bertindak sebagai pemboleh utama bagi pertumbuhan ekonomi dan transformasi.
“Melepasi 2020, kami akan terus memajukan agenda digital dengan memanfaatkan asas yang sudah kami bangunkan beberapa tahun kebelakangan ini,” katanya.
Sehingga kini, SC telah meluluskan dua pengurusan pelaburan digital yang dikenali sebagai penasihat robo iaitu Raiz Invest Ltd serta RoboWealth, yang akan beroperasi sepenuhnya pada awal 2020.
“Hari ini, Malaysia mempunyai tiga penasihat robo berlesen dan beroperasi sepenuhnya iaitu StashAway, MyTHEO dan Wahed. Kami terus menyaksikan minat yang kukuh dalam ruang ini dan akan terus memudahcarakan pertumbuhannya,” katanya.
Dihadiri lebih 800 peserta dan penceramah, persidangan dua hari SCxSC itu membincangkan isu-isu berkaitan keusahawanan fintech, pengesahan identiti digital, aset digital, fintech Islam dan kecerdasan buatan dalam keselamatan siber.