
Mayat ditemui awal pagi tadi (waktu tempatan) selepas perkhidmatan kecemasan dimaklumkan oleh orang ramai adanya orang dalam kontena tersebut, di tapak perindustrian Griley, kira-kira 34km dari pusat bandar London.
Polis berkata, pemandu trak, seorang lelaki berusia 25 tahun dari Ireland Utara, ditahan kerana disyaki membunuh.
Perdana Menteri Boris Johnson berkata beliau terkejut dengan kejadian itu.
“Saya menerima perkembangan kes ini dari semasa ke semasa dan Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri akan bekerjasama rapat dengan Polis Essex sementara kami sedang menyediakan maklumat apa yang telah berlaku,” kata Johnson menerusi Twitter.
“Fikiran saya adalah tentang mereka yang kehilangan nyawa dan orang tersayang mereka.”
Polis berkata trak tersebut telah memasuki Britain dari Holyhead, sebuah pelabuhan Wales Utara, yang merupakan titik masuk utama untuk trafik dari Ireland, pada Sabtu dan telah memulakan perjalanannya di Bulgaria.
Mangsa, 38 orang dewasa dan seorang remaja, semuanya mati di tempat kejadian semasa mereka ditemui di Taman Industri Waterglade, tidak jauh dari Sungai Thames.

Pemandu trak ditahan
Kementerian Luar Bulgaria berkata ia tidak dapat mengesahkan di peringkat ini sama ada trak tersebut telah memulakan perjalanannya dari negara itu.
“Kami masih memeriksa maklumat media British dan kami menghubungi pihak berkuasa,” kata jurucakap kementerian luar negara, Tsvetana Krasteva.
Pegawai polis forensik memeriksa sebuah kontena warna putih di sebelah gudang di tapak tersebut.
Polis telah menutup kawasan persekitaran perindustrian dengan halangan khas ketika menjalankan siasatan.
“Ini adalah kejadian yang tragis di mana sejumlah besar orang telah kehilangan nyawa mereka. Kami sedang dalam proses mengenal pasti mangsa, namun saya menjangka ini boleh menjadi proses yang panjang, ” kata Ketua Superintenden Andrew Mariner, dari Polis Essex.
“Kami telah menahan pemandu lori yang ada kaitan dengan kejadian, di mana dia masih dalam tahanan polis kerana proses siasatan masih berjalan.”
Peniaga-peniaga berdekatan berkata mereka tidak dapat mengakses ke unit masing-masing ekoran tindakan polis mengepung kawasan terbabit.
“Polis datang pada waktu malam, mereka telah menutup seluruh kawasan,” kata seorang pekerja kafe berdekatan, yang enggan memberikan namanya.
Dalam tragedi imigran tanpa izin terbesar di Britain pada 2000, pegawai kastam British menemui mayat 58 orang Cina yang jatuh dalam trak tomato di pelabuhan selatan Dover.