
Ketuanya, Karmaine Sardini berkata sebanyak 17 projek telah diluluskan dan telah mendapat RM14 juta peruntukan baik pulih di kawasan parlimen tersebut.
“Tak ada pembangunan itu silap. Kalau kita lihat Farid, banyak membuat perubahan seperti kerja baik pulih berkaitan dengan kampung, jeti dan dewan sekolah.
“Jadi saya tidak nampak, benda itu sebagai satu kegagalan. Dalam masa satu tahun sentengah, kita dah buat projek di sini,” kata beliau kepada FMT ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Sebelum ini, beberapa penduduk ditemui FMT mendakwa selepas 17 bulan Pakatan Harapan (PH) dan PPBM menang, langsung tiada pembangunan dibawa untuk penduduk tempatan. Mereka yang kecewa mengharapkan satu perubahan.
Mengulas lanjut, Karmaine yakin PH akan mempertahankan kerusi di Tanjung Piai.
Jentera sudah siap sedia
Beliau berkata buat masa ini jentera PH sudah siap sedia bagi menghadapi pilihan raya kecil bulan depan.

“Insya-Allah dah ada persediaan dan jika pada pilihan raya umum, jentera kurang, kali ini kita akan mantapkan jentera kita,” katanya.
Karmaine juga tidak menolak beliau antara tiga calon yang telah dipanjangkan ke peringkat pusat. Kesemua tiga calon PPBM merupakan anak tempatan.
“Kalau diamanahkan saya terima tanggungjawab. Macam saya bertanding di Pontian macam itu juga, insya-Allah kita akan galas,” katanya.
Beliau juga tidak menolak Pengerusi PPBM, Dr Mahathir Mohamad akan turun ke Tanjung Piai berkempen untuk memastikan kemenangan PH.
Sementara itu, Karmaine berkata BN letak calon Umno atau MCA, PH tidak akan gentar.
“Kita tetap bergerak satu sebagai PH dan ada startegi kita,” katanya.
Karmaine juga mendakwa hasil perjumpaannya di Tanjung Piai bersama kaum Cina juga menunjukkan sokongan mereka masih kuat terhadap PH.
“Kita ada pergi ke pasar, kedai-kedai jumpa mereka. Mereka masih menyokong walaupun memahami keadaan ekonomi masa ini,” katanya.
Karmaine juga berkata PH sudah sedia berdepan cabaran daripada gabungan PAS dan Umno di Tanjung Piai.
“Umno gabung ke tidak dengan PAS memang mereka menentang PH. Sekarang mereka gabung secara formal jadi kita memang akan berdepan dengan dua parti itu macam sebelum ini di PRU14,” kata beliau.