Malaysia ada PM Orang Asli, soal aktivis hak asasi

Kua Kia Soong berkata Dr Mahathir Mohamad memberi tafsiran baru mengenai kedudukan golongan pribumi.

PETALING JAYA: Penasihat Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Kua Kia Soong mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad membuat “tafsiran baru” dengan merujuk orang Melayu sebagai Orang Asli dalam mempertahankan kehadiran beliau pada Kongres Maruah Melayu, semalam.

Kata beliau, Perlembagaan Persekutuan hanya mengiktiraf Orang Asli sebagai golongan pribumi.

Oleh itu katanya, Perlembagaan Persekutuan tidak mendefinisikan orang Melayu sebagai pribumi di Malaysia dan ia “sangat salah dan tidak betul dari segi fakta” merujuk orang Melayu sebagai Orang Asli di Semenanjung.

“Ini ialah tafsiran baru dan satu lagi cubaan untuk menyalah tafsir Perlembagaan Persekutuan.

“Perdana menteri sepatutnya lebih berhati-hati dalam merujuk rakyat ditadbirnya di negara ini,” katanya dalam kenyataan bertajuk “Saya tidak tahu kita ada perdana menteri Orang Asli” hari ini.

Beliau berkata, “kedudukan istimewa” Orang Asli tidak diiktiraf, termasuk hak tanah adat, walaupun mereka ialah pribumi sebenar di negara ini seperti yang didefinisikan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Hari ini, mereka ialah masyarakat paling terpinggir dan mempunyai masalah pemakanan tidak seimbang di negara ini yang bergelut untuk terus hidup tanpa pengiktirafan hak tanah adat yang mereka layak perolehi.

“Hak tanah adat Orang Asli sering dilanggar kerajaan dan syarikat swasta melalui pengambilalihan atau pencerobohan tanah secara haram,” katanya sambil memetik projek pembinaan Empangan Bakun dan Sungai Selangor.

Beliau berkata, projek itu menyebabkan Orang Asli kehilangan sumber makanan dan tanah pengebumian nenek moyang mereka.

Semalam, Mahathir menerusi catatan blognya merujuk orang Melayu sebagai pribumi ketika mengulas kritikan terhadap Kongres Maruah Melayu pada 6 Okt lalu.

“Saya sedih memikirkan di negara mereka sendiri, pribumi tidak boleh mengadakan perhimpunan mereka sendiri tanpa dituduh rasis.”

Beliau mempertahankan Kongres Maruah Melayu dan berkata, ia adalah perkara normal bagi rakyat Malaysia mengadakan pertemuan dengan kumpulan etnik sendiri.