
Menurut laporan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), di Johor, lapan pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di lima daerah iaitu di Batu Pahat, Johor Bahru, Kulaijaya, Kluang dan Pontian melibatkan seramai 595 mangsa daripada 142 keluarga.
Di Perak, bilangan mangsa banjir turut meningkat kepada 410 orang daripada 101 keluarga yang ditempatkan di tiga PPS di Hilir Perak dan masing-masing satu di Batang Padang dan Kerian.
Bilangan mangsa banjir di Kedah juga meningkat kepada 61 orang daripada 39 keluarga yang ditempatkan di dua PPS di Kulim dan Pendang.
Dalam pada itu, jumlah mangsa banjir di Kuala Selangor, Selangor dan Seberang Perai, Pulau Pinang masing-masing kekal 784 orang daripada 245 keluarga dan 124 orang daripada 32 keluarga.
Nadma turut melaporkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di barat daya dan timur laut Pulau Pinang sehingga pukul 3 petang ini.
Dalam perkembangan berkaitan, kesemua 10 jajahan di Kelantan berisiko dilanda banjir, kata ketua polis negeri Hasanuddin Hassan.
Beliau berkata, polis mengambil langkah berjaga-jaga sejak Julai lepas dengan mengadakan pelbagai latihan, termasuk menyelamat dan pengendalian logistik.
“Tiada kawasan khusus (dilanda banjir). Semua kawasan di negeri ini harus dianggap berisiko banjir dan semua anggota perlu bersedia dari aspek mental dan fizikal.
“Cuti kira-kira 3,000 pegawai dan anggota akan dibekukan (jika perlu),” katanya pada sidang akhbar berkaitan rampasan dadah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli, hari ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan negeri di pantai timur dijangka mengalami empat hingga enam episod hujan lebat bermula awal November hingga Januari depan berikutan kedatangan monsun Timur Laut yang sering mengakibatkan banjir.