Dikait dengan LTTE, 2 Adun DAP antara 10 didakwa hari ini

Beberapa pemimpin kanan DAP, termasuk Lim Kit Siang hadir di Kompleks Mahkamah Melaka untuk memberi sokongan moral kepada 2 Adun DAP hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dua Adun DAP, P Gunasekaran dan G Saminathan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan keganasan di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan, kira-kira tiga minggu selepas mereka ditahan dalam operasi ke atas penyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Mereka merupakan antara 10 yang dihadapkan di Mahkamah Sesyen di lima negeri hari ini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Adun Seremban Jaya, Gunasekaran dan Adun Gadek, yang juga Exco Melaka, Saminathan, dibawa ke Mahkamah Seysen Ayer Keroh pagi ini bersama ahli perniagaan, S Chandru, dalam kemunculan pertama selepas ditahan pada 10 dan 12 Okt lalu.

Gunasekaran, Saminathan dan Chandru diwakili peguam DAP yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh.

Veteran DAP, Lim Kit Siang dan Menteri Sumber Manusia, M Kula Segaran antara pemimpin kanan DAP yang hadir di mahkamah untuk memberi sokongan moral kepada ahli parti itu.

Tujuh individu lain dibawa ke mahkamah di Segamat, Kuala Kangsar, Sepang dan Selayang untuk berdepan pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE atau memiliki barangan berkaitan kumpulan pengganas itu.

Hakim menolak ikat jamin bagi tiga ahli DAP itu dan mereka akan dihantar ke Penjara Sungai Buloh.

Baki lagi individu dijangka dihadapkan ke mahkamah pada Khamis.

Seramai 12 individu itu ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) dan mereka antara lain didakwa cuba menghidupkan semula LTTE yang disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di Malaysia sejak 2014.

2 didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar

Juruteknik, S Arivainthan dan pemandu teksi, V Balamurugan dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar di Perak hari ini untuk menghadapi pertuduhan keganasan. (Gambar Bernama)

Dalam pada itu, seorang juruteknik S Arivainthan, 27, dan pemandu teksi V Balamurugan, 37, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE, sejak 2014.

Bernama melaporkan, kedua-dua mereka yang berpakaian lokap warna ungu hanya mengangguk faham dan tiada pengakuan direkodkan setelah pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.

Mengikut pertuduhan, Arivainthan dan Balamurugan didakwa memberi sokongan kepada LTTE pada satu majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (Utara) antara 6.30 petang sehingga 11.45 malam, 28 Dis 2014 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan.

Mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan, tertuduh jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu.

Selain itu, Balamurugan turut didakwa memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan LTTE dalam seunit telefon bimbit jenama Samsung Galaxy A7 di pekarangan Stesen Teksi Sungai Siput (U) kira-kira pukul 9.40 pada 10 Okt lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucuthakkan mana-mana item tersebut.

Pemandu teksi itu juga didakwa memiliki dan mempamerkan item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan LTTE di sebuah premis di No.52 Taman Bukit Medan, Sungai Siput (U), Perak pada pukul 9.50 pagi pada 10 Okt lepas.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan dan Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah juga dilucuthakkan mana-mana item tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin manakala Arivainthan diwakili peguam RSN Rayer sementara Balamurugan diwakili Farhan Fadzil dan Matthews Jude.

Terdahulu, barisan peguam bela memohon mahkamah membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin atas alasan mereka dituduh mengikut Kanun Keseksaan yang tiada kenyataan dan izin daripada pihak pendakwa raya yang mewajibkan mahkamah menjalankan prosiding itu mengikut kaedah atau peruntukan Sosma.

Bagaimanapun mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin kerana membabitkan jenayah keselamatan dan menetapkan menetapkan 28 Nov ini untuk sebutan semula kes.

Sementara di luar mahkamah, Rayer memberitahu pihaknya akan membuat rayuan berhubung isu ikat jamin anak guam mereka di Mahkamah Tinggi Ipoh selewat-lewatnya esok.

Rayer memberitahu FMT, kedua-duanya didakwa menyertai satu upacara menyokong LTTE di Sungai Siput pada 28 Dis 2014.

“Saya berhujah dakwaan terhadap mereka tidak jelas dan ikat jamin perlu ditawarkan.”

Bagaimanapun, katanya, pihak pendakwaan meminta hakim tidak membenarkan ikat jamin kerana mereka ditahan di bawah Sosma.

Penghantar surat didakwa di Segamat

Sementara itu, seorang penghantar surat didakwa di Mahkamah Sesyen Segamat atas pertuduhan memiliki item berunsur perbuatan keganasan atau berkaitan dengan LTTE.

S Teran, 38, yang bekerja di sebuah pejabat peguam di Segamat memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dalam bahasa Melayu di hadapan Hakim Rasidah Roslee.

Tertuduh yang masih bujang dan bakal melangsungkan perkahwinan pada Dis ini didakwa melakukan perbuatan itu di alamat 10M, Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai, Segamat, kira-kira 6.30 petang, 10 Okt lepas.

Dia juga didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, Teran boleh dipenjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan dilucuthakkan mana-mana item tersebut.

Peguam A Mathan memohon mahkamah membenarkan jaminan diberikan kepada Teran dengan alasan tertuduh mengalami masalah tulang belakang.

Tertuduh, katanya, menjalani rawatan akibat sakit itu pada 25 Julai lepas dan kini memerlukan rawatan susulan.

Rasidah dalam penghakimannya berkata, permohonan tertuduh untuk diberikan jaminan tidak dipertimbangkan sehingga dia mengemukakan laporan perubatan lengkap bagi diteliti mahkamah.

Mahkamah kemudian menetapkan 18 Nov ini untuk pengurusan kes bagi meneliti laporan perubatan tersebut dan laporan pakar forensik.

Pengutip besi buruk hadapi 2 tuduhan

Seorang pengutip besi buruk, A Kalaimughilan dihadapkan di Mahkamah Sesyen Selayang. (Gambar Bernama)

Seorang pengutip besi buruk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang, Selangor atas dua pertuduhan memiliki item-item berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE.

Tertuduh A Kalaimughilan, 28, yang memakai baju kemeja bercorak biru putih mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana dia ditahan di bawah Sosma dan kes-kes di bawah Sosma akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi. Pengakuan tertuduh akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kemudian.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan memiliki item-item berkaitan dengan LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dekat Selayang dan di dalam sebuah kereta di tempat sama, pada 9.30 pagi dan 12.35 petang, 10 Okt lepas.

Antara item-item tersebut ialah cakera padat (CD), video cakera padat (VCD) dan pelekat berkaitan LTTE.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak mana-mana barangan berkenaan, jika sabit kesalahan.

Guru sekolah didakwa di Sepang

Seorang guru sekolah menengah kebangsaan, Sundram Renggam dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang. (Gambar Bernama)

Dalam pada itu, seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, Sepang kerana memiliki barangan berkaitan LTTE.

Sundram Renggan @ Rengasamy, 52, yang juga pengajar subjek bahasa Inggeris dan fizik, didakwa melakukan kesalahan itu di No 21, Jalan 6, Taman Telok, Telok Panglima Garang dalam daerah Kuala Langat pada 12 Okt lepas kira-kira pukul 2.30 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan. Jika disabitkan kesalahan, dihukum penjara dengan tempoh tidak melebihi tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item berkenaan.

Pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Saifulakmal Mod Said dalam bahasa Melayu. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Peguam yang mewakili Sundram, Kirthiraj Raja Sundram menfailkan permohonan jaminan dengan alasan anak guamannya itu memerlukan rawatan lanjut kerana penyakit kencing manis.

Namun permohonan itu dibantah Timbalan Pendakwa Raya Azlina Rasdi kerana permohonan itu tidak tertakluk di bawah Seksyen 13 Sosma.

Hakim Saifulakmal turut menolak permohonan itu, namun memerintahkan rawatan sewajarnya diberikan kepada tertuduh.

Tarikh sebutan semula ditetapkan pada 16 Dis ini.

2 lagi didakwa di Butterworth

Di Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang, pengawal keselamatan, M.Pumugan, 29, dan penjaga stor S. Thanagaraj, 26, masing-masing menghadapi dua pertuduhan sama.

Pumugan didakwa memiliki item berkaitan dengan LTTE di dalam sebuah telefon bimbit di pekarangan parkir hadapan Pejabat N.S.E Lorry Transport Sdn Bhd Lorong Industri Ringan, Permatang Tinggi, daerah Seberang Perai Tengah di sini pada pukul 3.16 petang , 12 Okt lepas dan di sebuah rumah di Juru, Bukit Mertajam di sini pada pukul 4.15 petang, tarikh sama.

Thanagaraj dituduh melakukan kesalahan serupa di dalam telefon bimbit di Sky Thommas Food Industries Sdn Bhd, No 1066, Jalan Perindustrian Bukit Minyak 2, Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Butterworth pada 10 pagi, 12 Okt lepas dan di No 7, Lorong Sejahtera 3, Taman Sejahtera, Seberang Perai Tengah pukul 11 pagi tarikh sama.

Kesemua mahkamah menetapkan 18 Nov dan 16 Dis untuk sebutan semula kes.

Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana mereka ditahan di bawah Sosma dan kes-kes di bawah Sosma akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pengakuan tertuduh akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kemudian.

Di bawah SOSMA juga mereka tidak dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan atau kes selesai. Kesemua tertuduh ditahan di Penjara Sungai Buloh mulai hari ini.