
Penyerang, yang merupakan bekas tentera, telah melepaskan tembakan rambang ke arah sekumpulan orang di dalam masjid ketika mereka menunaikan solat dan mencederakan dua lelaki berusia yang kemudian dikejarkan ke hospital kerana mengalami kecederaan serius, menurut akhbar Perancis, Sud Ouest.
AFP melaporkan penembak itu, dikenali sebagai Claude Sinke, ditahan di rumahnya kira-kira 10km dari Saint-Martin-de-Seignanx selepas melarikan diri dari lokasi kejadian dengan sebuah kereta.
Menurut polis, penembak yang berusia 84 tahun juga telah membakar sebuah kereta di luar masjid. Kedua-dua mangsa berusia 74 dan 78 tahun.
Polis menjumpai selaras senapang dan bom tangan di alamat tersebut, menurut laporan media tempatan.
Lelaki itu mempunyai kaitan dengan pelampau kanan dan bertanding dalam pilihan raya tempatan beberapa tahun lepas bagi Parti Barisan Kebangsaan Marine Le Pen, yang kemudian telah dinamakan semula sebagai Perhimpunan Kebangsaan, menurut laporan media yang memetik kenyataan sumber polis.

Presiden Perancis Emmanuel Macron mengutuk “serangan yang menjelekkan itu” di akaun Twitter dan berkata doa serta ingatan beliau bersama mangsa.
“Republik ini tidak akan bertoleransi dengan (jenayah) kebencian,” kata Macron.
“Segala-galanya akan dilakukan untuk menghukum pelaku dan melindungi saudara kita yang menganut agama Islam,” katanya.
Siasatan berhubung insiden itu masih berjalan.
Dalam kenyataan berasingan, Menteri Dalam Negeri Christophe Castaner mengesahkan penangkapan itu, dan menawarkan “sokongan dan solidariti” beliau kepada masyarakat Islam.
Marine Le Pen, ketua parti parti National Rally yang mempunyai hubungan dengan kumpulan anti-Islam ganas, turut mengutuk insiden itu.
“Serangan … bertentangan dengan semua nilai gerakan kita,” katanya dipetik AFP.