27 borang pencalonan PRK Tg Piai dijual, kata SPR

27 borang pencalonan PRK Tg Piai dijual, kata SPR

SPR berkata, semua borang itu dibeli 10 pihak yang terdiri daripada parti politik utama dan individu.

PRK Tanjung Piai akan diadakan pada 16 Nov nanti dengan hari penamaan calon pada 2 Nov ini.
PONTIAN:
Borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai laris bak pisang goreng panas dengan 27 borang dijual sehingga 12 tengah hari tadi.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Johor, Mohammad Zaidad Abu Samat berkata semua borang itu dibeli 10 pihak yang terdiri daripada parti politik utama dan individu.

“Tiga daripada pihak berkenaan telah membayar deposit pilihan raya sebanyak RM10,000,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan nama individu atau parti politik itu.

Pada 24 Okt lalu, Zaidad dilaporkan sebagai berkata enam borang pencalonan telahpun dijual sejak 8 Okt.

Hari penamaan calon ditetapkan pada 2 Nov ini bertempat di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, dekat sini, manakala hari pengundian pada 16 Nov nanti.

Setakat ini, hanya Pakatan Harapan menerusi PPBM dan Gerakan mengumumkan calon mereka.

Isnin lalu, Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin mengumumkan Ketua PPBM Bahagian Tanjung Piai, Karmaine Sardini sebagai calon PH, manakala Gerakan semalam mengumumkan Timbalan Setiausaha Agungnya, Wendy Subramaniam sebagai calonnya.

Zaidad berkata, dari segi persiapan SPR, latihan melibatkan 992 petugas di semua 28 pusat mengundi (termasuk undi awal) sudah selesai.

“Dari aspek keselamatan, polis telah siap sedia, kerahan lebih 1,700 anggota. Hari ini juga ada sesi penyelarasan bersama ketua polis daerah Pontian bagi polis mengawal pergerakan penyokong ke dewan penamaan.

“Esok juga akan ada taklimat penyelarasan bersama parti yang umum untuk bertanding di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian,” katanya sambil menambah pihaknya juga dalam keadaan bersiap siaga menghadapi kemungkinan banjir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.