
Katsuyuki Kawai memberitahu wartawan, beliau menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Shinzo Abe, awal hari ini.
Langkah itu menyusul selepas majalah mingguan, Shukan Bunshun melaporkan dakwaan isteri menteri itu, Anri Kawai membayar kakitangan kempennya melebihi jumlah yang dibenarkan undang-undang.
Peletakan jawatan itu berlaku seminggu selepas Menteri Perdagangan, Isshu Sugawara meletak jawatan selepas sebuah majalah melaporkan dakwaan beliau memberi hadiah mahal, termasuk ketam dan tembikai kepada pengundi.
Kawai yang menafikan sebarang salah laku, berkata peletakan jawatan itu adalah keputusan terbaik berdasarkan keadaan sekarang.
“Saya atau isteri saya tahu mengenai isu itu dan saya percaya saya sudah melakukan aktiviti politik mengikut undang-undang.
“Saya akan siasat isu itu dan beri penjelasan, tetapi buat masa ini, kepercayaan orang ramai terhadap pentadbiran kehakiman akan hilang.”
Sementara itu, Abe memohon maaf terhadap kenyataannya atas pelantikan Kawai menerusi rombakan Kabinet baru-baru ini yang turut membawa Sugawara ke dalam kerajaan.
Abe berkata, bekas menteri yang bertanggungjawab menangani isu kadar kelahiran rendah, Masako Mori akan menggantikan Kawai sebagai menteri kehakiman baru.
Kabinet Abe mengekalkan tahap sokongan awam sekitar 40 hingga 50 peratus dalam beberapa tahun ini, walaupun timbul skandal politik, dan pakar mendakwa kelemahan pembangkang berterusan sebagai punca utama.