Malaysia juara kejohanan hoki dalam dewan antarabangsa

Malaysia juara kejohanan hoki dalam dewan antarabangsa

Malaysian Tigress menewarkan Uzbekistan 3-0 pada perlawanan akhir Piala Tuanku Zara hari ini.

KUALA KANGSAR: Pasukan Malaysia muncul juara edisi pertama Kejohanan Hoki Dalam Dewan Antarabangsa Wanita Piala Tuanku Zara selepas menundukkan Uzbekistan 3-0 pada perlawanan akhir di Dewan Jubli Perak hari ini.

Skuad bimbingan Muhammad Dharmaraj Abdullah membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Nur Aisyah Yaacob pada minit ke-25.

Selang lima minit kemudian, Aisyah sekali lagi meletakkan Malaysia di hadapan apabila mudah menyempurnakan pukulan sudut penalti yang diberikan pengadil.

Uzbekistan bawah kendalian Liliya Mutalapova cuba bangkit untuk merapatkan jurang gol namun benteng pertahanan negara sukar ditembusi, malah terus mengukuhkan kedudukan selepas Qasidah Najwa Muhammad Halimi berjaya menjaringkan satu lagi gol buat Malaysia.

Kedudukan 3-0 kekal hingga tamat perlawanan. Terdahulu, pada perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat Taiwan Taipei mudah menewaskan Filipina 4-0.

Dharmaraj berkata kemenangan sulung kejohanan itu dianggap sebagai tonik tambahan kepada skuad Malaysian Tigress menjelang Sukan Sea di Filipina, yang akan bermula hujung bulan ini.

“Kami menggunakan kejohanan ini sebagai landasan persiapan, pada masa sama kami masih ada lagi 12 pemain negara yang menyertai perlawanan persahabatan di Kuala Lumpur dan nanti kami akan cuba bentuk pasukan yang bagus.

“Kejohanan ini amat bagus untuk kita memandangkan Uzbekistan menghantar pasukan negara mereka, manakala pasukan ini bukan pasukan 100 peratus yang akan bermain di Sukan SEA nanti,” katanya.

Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan menyampaikan hadiah kepada semua pemenang berupa piala dan medal.

Kejohanan selama empat hari bermula 31 Okt lalu disertai Uzbekistan, Nepal, Taiwan, Filipina dan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.