
“Walaupun baru bagi Malaysia, banyak negara lain seperti Perancis, Itali dan India telah melaksanakannya. Langkah itu akan mengurangkan penyalahgunaan tunai dengan menangani kemudahan menjalankan transaksi tunai bernilai tinggi.
“Walaupun kaedah pembayaran elektronik semakin meningkat, penjenayah masih memilih tunai kerana ia diterima di mana-mana saja, tanpa nama dan tidak dapat dikesan,” katanya pada Persidangan Jenayah Kewangan dan Pembiayaan Keganasan Antarabangsa yang dilancarkan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad hari ini.
Shamsiah berkata, Jawatankuasa Penyelaras Peringkat Kebangsaan bagi Pencegahan Pengubahan Wang Haram (NCC) akan memberi penerangan kepada orang awam mengenai cadangan itu pada akhir bulan ini.
“NCC mahu melaksanakan keputusan yang tepat. Oleh itu, kami berharap anda semua dapat menggalakkan masyarakat untuk memberi maklum balas ke atas cadangan itu.”
Jan lalu, BNM mengurangkan nilai ambang pelaporan transaksi wang tunai (CTR) daripada RM50,000 kepada RM25,000.
Sehingga Sept lalu, lebih lima juta laporan CTR diterima, menyumbang kira-kira RM483 bilion transaksi tunai.
“Masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan. Namun, kami telah membuat pemerhatian di seluruh industri yang mana jumlah nilai transaksi tunai yang dilaporkan meningkat sedikit, manakala jumlah laporan CTR yang diterima adalah hampir dua kali ganda.”
Beliau berkata, peningkatan ketara dalam CTR yang diterima sejak Jan lalu memberikan BNM data penting untuk pemantauan lebih ketat ke atas transaksi tunai di luar kebiasaan dan mengenal pasti risiko pengubahan wang haram serta pembiayaan pengganas kepada entiti baru dikenal pasti yang belum dikesan.
Katanya, kaedah tambahan ini turut membawa kepada kualiti pendedahan lebih baik kepada agensi penguatkuasaan undang-undang berkaitan, terutamanya berhubung penipuan, pengelakan cukai dan rasuah.