Nelayan Tg Piai dakwa mereka makin terpinggir

Nelayan Tg Piai dakwa mereka makin terpinggir

Nelayan Tanjung Piai mengadu mereka menghadapi masalah mendapatkan lesen menangkap ikan walaupun memohon sejak bertahun lamanya.

Keadaan jeti nelayan di Tanjung Piai.
PONTIAN:
Beberapa nelayan di Tanjung Piai mengadu mereka menghadapi masalah mendapatkan lesen menangkap ikan walaupun memohon sejak bertahun lamanya.

Nelayan di Penerok, Zambere Jamaat berkata walaupun sudah turun ke laut sekian lamanya, tetapi dia masih belum mendapat lesen menangkap ikan.

“Masalah sekarang ini, saya sudah lama ke laut tetapi proses untuk mendapatkan lesen terlalu lama.

“Saya dah mohon berkali-kali tetapi tidak dapat juga. Kita mohon sudah tiga hingga empat peringkat tetapi belum diluluskan lagi,” katanya kepada FMT.

Zambere, 50, berkata sepatutnya proses untuk mendapatkan lesen menangkap ikan bagi nelayan di Tanjung Piai lebih mudah berikutan Salahuddin merupakan anak tempatan di sini.

“Jika jawatankuasa buat kerja, kita hantar borang dan dapat cop terus daripada Salahuddin lagi cepat,” katanya.

Zambere juga mempersoalkan mengapa selepas kematian penyandang kerusi Tanjung Piai, Md Farid Md Rafik, baru timbulnya pelbagai peruntukan.

Zambere Jamaat.

Katanya, dia hairan jika kerajaan mengatakan ia tiada duit tetapi boleh meluluskan pelbagai peruntukan apabila tiba pilihan raya kecil (PRK) di Tanjung Piai.

“Mungkin jika Barisan Nasional menang tidak dapat apa-apa. Tetapi kalau Pakatan Harapan menang juga belum tentu mereka tunaikan janji mereka,” katanya.

Semalam, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata, beliau menyedari masalah untuk mendapatkan lesen menangkap ikan itu.

Salahuddin berkata kerajaan akan memastikan hak nelayan yang melibatkan lesen menangkap ikan, elaun sara hidup dan subsidi diesel tidak diambil kesempatan oleh pihak lain.

Beliau berkata permohonan lesen nelayan mempunyai kriteria ketat dan sepanjang memegang tanggungjawab, pihaknya cuba permudahkan permohonan lesen itu.

Seorang lagi nelayan, Yaakob Mohd Said mempersoalkan kelonggaran kerajaan mengawal nelayan kelas B dan C yang menceroboh dan menangkap ikan di kawasan nelayan kelas A di perairan negara.

Yaakob Mohd Said.

Beliau berkata sepatutnya nelayan kelas B dan C tidak boleh masuk di kawasan nelayan kelas A dan tindakan perlu dikenakan.

“Ada nelayan kelas A buat laporan polis tetapi tidak ada tindakan. Kita minta pihak berwajib seperti maritim dan jabatan laut ambil tindakan,” katanya.

Yaakob, 65, juga berharap Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani dapat mengurangkan cukai peralatan nelayan.

Beliau berkata perkara itu amat penting kerana ia dapat membantu nelayan membeli peralatan mereka dengan harga berpatutan.

“Harga peralatan nelayan kini melambung tinggi. Jika cukai dikurangkan atau dimansuhkan dapat membantu nelayan.

“Nelayan juga boleh tarik nafas lega jika cukai dikurangkan,” katanya.

Pak Saad.

Seorang nelayan tempatan yang mahu dikenali sebagai Pak Saad berkata kehidupan nelayan ibarat “kais pagi makan pagi, kais petang makan petang”.

Katanya, nasib nelayan tidak seperti dulu di mana hasil tangkapan banyak, tetapi tidak lagi sekarang.

“Dulu pasang jaring panjang boleh dapat 2kg udang tetapi sekarang panjang yang sama hanya dapat 2 ekor udang.

“Mana hala tuju kami. Kami dah diajar kerja di laut sejak kecil lagi jadi memang aktiviti kita selalu di laut. Jika nak buat kerja di darat kami tak larat dan tidak ada kemahiran,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.