Uskup Perancis setuju bayar ‘pampasan’ kepada mangsa kes dera seks di gereja

Uskup Perancis setuju bayar ‘pampasan’ kepada mangsa kes dera seks di gereja

Persidangan uskup Perancis semalam berkata dalam satu kenyataan, setiap uskup akan menghubungi mangsa yang mereka tahu bagi menawarkan "satu jumlah bayaran sekali gus".

Uskup Perancis meluluskan cadangan pembayaran kepada mangsa penderaan seks. (Gambar AFP)
PARIS:
Uskup Perancis menyokong satu cadangan untuk menawarkan bayaran kepada mangsa kes dera secara seksual melibatkan golongan kanak-kanak oleh anggota paderi Katolik.

Persidangan uskup Perancis semalam berkata dalam satu kenyataan, setiap uskup akan menghubungi mangsa yang mereka tahu bagi menawarkan “satu jumlah bayaran sekali gus”.

Ia menambah, tiada sistem undang-undang Perancis mahupun gereja memerlukan pembayaran seumpama itu, dan ia tidak bertujuan sebagai ganti rugi.

“Ia bertujuan mengiktiraf penderitaan mangsa akibat pelbagai kegagalan dalam gereja,” kata kenyataan dikeluarkan.

Katanya, dana akan diwujudkan dan jumlah pembayaran belum diputuskan.

Buat masa ini, para pegawai gereja tidak tahu berapa ramai yang layak menerima pembayaran itu tetapi suruhanjaya bebas diberi peranan mencari kes penderaan seks oleh ahli-ahli pendeta Katolik sejak 20 tahun lalu di Perancis telah mengumpul butiran melibatkan lebih 2,800 mangsa.

Serangan skandal penyalahgunaan kedudukan telah menjejaskan dengan teruk kredibiliti gereja di seluruh dunia dan memaksa beberapa organisasi terbabit mengisytiharkan muflis kerana berbilion-bilion dolar dibayar kepada mangsa.

Pope Francis mengeluarkan keputusan penting pada bulan Mei lalu agar pihak uskup bertanggungjawab secara langsung terhadap penderaan seksual atau cuba menutupnya, yang memerlukan pihak terbabit melaporkan apa jua kes kepada peringkat atasan gereja dan membenarkan siapa saja untuk mengadu secara langsung kepada Vatikan jika perlu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.