
Ia susulan peletakan jawatan Presiden Evo Morales semalam serta calon-calon lain paling hampir iaitu Naib Presiden Alvaro Garcia, Presiden Senat Adriana Salvatierra Arriaza, Naib Presiden Pertama Senat Ruben Medinaceli dan Presiden Dewan Perwakilan Vioctor Borda yang turut mengambil keputusan untuk berundur.
Morales yang menjadi presiden sejak 2006 meletak jawatan selepas panglima angkatan tentera negara itu mencadangkan agar beliau berundur.
Morales mendakwa keputusan itu dibuat agar pesaing politiknya berhenti mencederakan keluarga dan merosakkan harta benda anggota Parti Gerakan untuk Sosialisme (MAS).
Beliau berkata gesaan agar beliau meletak jawatan adalah satu rampasan kuasa dan menyelar mereka yang menyasarkan demokrasi serta keamanan sosial di negara itu.
Menerusi kenyataan yang disiarkan di televisyen, Panglima Tentera William Kaliman menggesa Morales meletak jawatan untuk memulihkan keselamatan dalam negara itu.
Bolivia telah terjerumus dalam kancah kekecohan politik susulan pilihan raya presiden pada 20 Okt yang menyaksikan organisasi pemantau antarabangsa mendakwa telah mengesan penipuan dalam sistem pengundian.
Morales telah meraih 47.8 peratus undi dan memperoleh kemenangan dalam pusingan pertama pengundian.
Carlos Mesa, pemimpin pembangkang utama Parti Kiri Revolusioner, berkata beliau tidak akan mengiktiraf kemenangan Morales dan mendakwa terdapat “penipuan” dalam penjumlahan undi.