Ulama Indonesia larang umat Islam guna ucapan agama lain

Ulama Indonesia larang umat Islam guna ucapan agama lain

Majlis Ulama Indonesia bahagian Jawa Timur berkata amalan itu adalah bidaah dan mengandungi unsur syubhah.

Umat Islam Indonesia dilarang menggunakan ucapan agama lain, selain “Assalamualaikum’. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Majlis Ulama Indonesia (MUI) menasihati umat Islam tidak menggunakan ucapan daripada agama lain, mengatakan amalan itu sebagai bidaah.

Dalam surat bertarikh 8 Nov, Pengerusi MUI Jawa Timur, Abdusshomad Buchori menyarankan umat Islam khususnya pembuat dasar hanya menggunakan ucapan agama mereka sendiri.

“Bagi orang Islam, cukup untuk berkata Assalamualaikum.

“Dengan cara itu, umat Islam boleh menghindari perbuatan syubhah yang boleh menjejaskan kesucian agama mereka,” kata beliau, lapor The Jakarta Post.

Abdusshomad berkata, penggunaan ucapan daripada semua agama adalah amalan baru yang merupakan bidaah, tidak pernah diamalkan masa-masa lalu dan mengandungi unsur syubhah yang harus dielakkan.

Menjadi amalan biasa pegawai kerajaan memulakan ucapan rasmi menggunakan ucapan agama, termasuk “Assalamualaikum” untuk umat Islam, “shalom” untuk penganut Kristian, “om swastiastu” untuk penganut Hindu dan “namo buddhaya” untuk penganut Buddha.

Abdusshomad berkata orang Islam tidak boleh mengamalkan amalan itu kerana ucapan itu adalah doa yang efektif daripada sistem kepercayaan yang berbeza.

“Sebagai contoh, ucapan ‘Assalamualaikum’ bermaksud ‘semoga Allah memberikan kesejahteraan ke atas kamu.’ Ini adalah doa yang ditujukan kepada Allah, tuhan Yang Maha Esa.

“Ucapan Buddha ‘namo buddhaya’ bermaksud ‘penghormatan kepada Buddha’ adalah ungkapan yang tidak dapat dipisahkan dari kepercayaan Buddha mengenai Siddharta Gautama,” katanya.

Beliau menambah, ucapan “Om swastiastu” merupakan doa yang bermaksud “Semoga Sang Hyang Widhi (dewa Hindu) memberi kebaikan dan kebahagiaan ke atas kamu”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.