Bank Negara digesa naikkan had transaksi tunai RM50,000

Bank Negara digesa naikkan had transaksi tunai RM50,000

Bank Negara Malaysia mencadangkan had RM25,000 bagi membendung jenayah kewangan.

(Gambar Facebook)
KUALA LUMPUR:
Cadangan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk menetapkan had transaksi tunai (CTL) sebanyak RM25,000 bagi setiap transaksi tahun depan mendapat reaksi berbeza daripada perniagaan, dengan beberapa pihak mencadangkan jumlah RM50,000.

Presiden Dewan Perdagangan Asean, Moehamad Izat Emir berkata langkah mengehadkan transaksi tunai fizikal kepada RM25,000 terlalu drastik, dan berharap pengawal atur membuat kajian lanjut mengenainya.

“Perlu semak dengan negara lain, sama ada mereka turut melaksanakan had serta impaknya.

“Kita tidak wajar mewujudkan persekitaran ketat untuk perniagaan beroperasi yang mungkin menyebabkan mereka memindahkan operasi ke tempat lain seperti Vietnam, Indonesia atau Filipina,” katanya kepada Bernama.

Menyuarakan pandangan yang sama, Timbalan Presiden Kebangsaan Persatuan Hotel Bajet Malaysia, Sri Ganesh Michiel berkata had transaksi tunai tidak wajar terhad pada RM25,000, memandangkan ini akan menyukarkan operasi sektor perhotelan.

“Kami akan terjejas dan ia bukan langkah yang baik. Dalam mengehadkan urus niaga tunai, ia akan menimbulkan masalah dalam operasi harian memandangkan kos kini semakin mahal,

“Hadnya perlu lebih tinggi atau sekurang-kurangnya RM50,000,” katanya.

Walaupun mengakui rasional di belakang langkah itu, beliau juga berkata CTL juga akan menimbulkan kesulitan untuk perniagaan berlesen, dan bukannya menangani isu utama aktiviti haram.

Bagaimanapun, Suriani Sobri, pengasas bersama Suri Decor, syarikat berasaskan perdagangan yang memberi tumpuan kepada hiasan rumah, berkata langkah itu tidak memberi sebarang impak ke atas perniagaannya memandangkan syarikat itu berurusan dengan pembekal menggunakan kaedah pembayaran elektronik.

Beliau berkata urusan dengan pembekal bagi mengekalkan tahap inventori, kebanyakan dilakukan secara elektronik.

“Ada beberapa urusan kita perlu menggunakan wang tunai. Sebagai contoh, kami membayar tunai kepada pekerja sambilan untuk membungkus produk setiap hari. Ini biasanya tidak sampai RM10,000,” katanya.

Suri Deco yang memberi tumpuan kepada perniagaan jualan pengguna memanfaatkan e-dagang, dengan pengikut Instagram kini mencecah 33,000.

BNM mengumumkan cadangan CTL sebanyak RM25,000 minggu lepas sebagai sebahagian daripada inisiatifnya untuk terus membendung jenayah kewangan.

Ia berkata transaksi tunai melebihi had RM25,000 tidak boleh dibayar secara tunai, tetapi secara elektronik, seperti menggunakan kad kredit atau cek.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.