Malaysia fokus Ekonomi Biru untuk tingkat taraf hidup, kata Azmin

Malaysia fokus Ekonomi Biru untuk tingkat taraf hidup, kata Azmin

Ekonomi Biru bakal menjadi satu cabang baru kajian di bawah Projek Kajian Kemungkinan kendalian Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada tahun hadapan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohamed Azmin Ali berkata kementeriannya telah mengambil keputusan untuk memberi fokus lebih mendalam kepada cabang Ekonomi Biru.
KUALA LUMPUR:
Ekonomi Biru bakal menjadi satu cabang baru kajian di bawah Projek Kajian Kemungkinan kendalian Kementerian Hal Ehwal Ekonomi pada tahun hadapan.

Menterinya, Mohamed Azmin Ali berkata menyedari potensi cabang ekonomi tersebut dan berdasarkan keluasan perairan Malaysia, kementerian tersebut telah mengambil keputusan untuk memberi fokus lebih mendalam kepada cabang Ekonomi Biru.

“Projek Kajian Kemungkinan ini melibatkan pelaksanaan pelbagai kajian kemungkinan yang disambung dan baru, dilaksanakan oleh kementerian dan agensi berkaitan bagi membantu menyediakan input dalam merancang pembangunan sosioekonomi negara serta input dalam penyediaan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) 2021-2025.

“Pada 2020, terdapat 10 kajian sambungan dalam pelbagai peringkat pelaksanaan diteruskan,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Rakyat, semalam.

Azmin berkata, antara kajian berkenaan ialah kajian Industri 4.0, kajian teknikal dan dan komersial, hala tuju projek keretapi laju KL-Singapura, kajian penyelarasan padi dan beras negara, serta kajian peralatan perkhidmatan minyak dan gas.

Setakat Nov 2019, beliau berkata terdapat keperluan tambahan kajian baru yang akan dilaksanakan bermula 2020 termasuk kajian Ekonomi Biru dan kajian teknikal keretapi laju.

Menurut Bank Dunia, Ekonomi Biru merangkumi pelbagai aktiviti seperti industri perikanan, tenaga boleh diperbaharui, pengangkutan maritim, pengurusan sisa, pelancongan dan perubahan iklim.

Justeru, Ekonomi Biru bermaksud penggunaan sumber laut secara mapan untuk pertumbuhan ekonomi, peningkatan taraf hidup dan pekerjaan, di samping menjaga kemakmuran dan kesihatan ekosistem laut.

Konsepnya berkait rapat dengan Ekonomi Hijau yang ditakrifkan sebagai ekonomi bermatlamat untuk mengurangkan segala risiko ke atas alam sekitar serta mencapai pembangunan mapan tanpa mengganggu gugat persekitaran.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.