BN rampas Tg Piai dengan majoriti besar

Wee Jeck Seng (berdiri, empat dari kanan) meraikan kemenangannya bersama Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dan penasihat BN, Najib Razak serta pemimpin lain di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim, Pontian.

PONTIAN: Barisan Nasional berjaya merampas kembali kerusi Parlimen Tanjung Piai daripada Pakatan Harapan dengan majoriti besar 15,086 undi.

Pegawai Pengurus Suruhanjaya Pilihan Raya bagi PRK Tanjung Piai, Zulkifly Mohd Tahir mengumumkan Wee Jeck Seng mendapat 25,466 undi, menewaskan pencabar terdekat daripada PH, Karmaine Sardini yang memperoleh 10,380 undi.

Calon Gerakan, Wendy Subramaniam sekadar meraih 1,707 undi, Badhrulhisham Abdul Aziz yang mewakili Parti Barisan Jemaah Islamiah mendapat 850 undi dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock serta Faridah Aryani Abd Ghaffar masing-masing memperoleh 380 undi dan 32 undi.

Zulkifly berkata, terdapat 595 undi rosak dan peratusan keluar mengundi selepas semua 27 pusat mengundi ditutup 5.30 petang tadi ialah 74.5%.

Wee yang juga ketua MCA Bahagian Tanjung Piai, pernah menjadi ahli Parlimen Tanjung Piai dari 2008 hingga 2018, sebelum tewas kepada Dr Md Farid Md Rafik daripada PPBM dengan majoriti 524 undi pada Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lalu.

Ini adalah kemenangan keempat BN daripada sembilan PRK yang diadakan sejak PRU14.

BN sebelum ini menang di PRK Parlimen Cameron Highlands, Dewan Undangan Negeri Semenyih dan Rantau.

Timbalan Pengerusi BN, Mohamad Hasan (depan, duduk) bersama Setiausaha Agung Umno, Annuar Musa (berdiri, bertopi hitam) dan pemimpin BN lain di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di Pontian.

Dalam reaksi segera terhadap keputusan PRK Tanjung Piai, bekas timbalan presiden PKR, Syed Husin Ali berkata, PRK hari ini sama dengan pungutan suara ke atas kepimpinan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad.

“Ini referendum terhadap PH pimpinan Mahathir. Keputusannya paling jelas. Rakyat kecewa dan mahu ajar PH khususnya Mahathir,” tulisnya di Twitter.

Beliau berkata, Mahathir yang juga pengerusi PH dan PPBM tahu apa yang perlu dilakukan segera.

“Beliau harus tahu apa yang patut dilakukannya dengan segera. Jangan dolak dalik lagi.”

Keputusan malam ini sudah diramalkan sebuah badan pemikir yang dikaitkan dengan MCA semalam yang BN akan meraih kemenangan besar dengan majoriti lebih 7,000 undi.

Institut Analisis Strategik dan Penyelidikan Dasar (Insap) berkata, lebih separuh daripada pengundi Melayu dan Cina dalam kaji selidik dua minggu lalu menunjukkan mereka tidak akan mengundi PH.

“Tetapi, ia bukanlah kerana pengundi Tanjung Piai sekarang lebih menyayangi BN. Ia kerana pengundi kecewa terhadap PH,” kata Timbalan Pengerusi Insap, Pamela Yong.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian Farid pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Tanjung Piai mempunyai 53,528 pengundi berdaftar yang terdiri daripada 57% pengundi Melayu, Cina 42% dan India 1%.