Peguam bela bantah pendakwa mahu panggil Arul sebagai saksi kes audit 1MDB

Bekas CEO 1MDB, Arul Kanda di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

KUALA LUMPUR: Dalam satu perkembangan mengejutkan, pihak pendakwaan dalam kes meminda laporan audit 1MDB memberi notis kepada Mahkamah Tinggi hari ini untuk memanggil Arul Kanda Kandasamy, yang dituduh bersama-sama Najib Razak, memberi keterangan di pihak pendakwaan, sekali gus mencetuskan bantahan daripada peguam bekas perdana menteri itu.

Pendakwa raya ad-hoc Gopal Sri Ram memberitahu Hakim Mohamed Zaini Mazlan bahawa pendakwa raya akan membuat permohonan bertulis di bawah Seksyen 63 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah untuk memanggil Arul memberi keterangan di pihak pendakwaan.

“Kami akan memberi penjelasan kepada mahkamah mengenai bahagian kes ini di peringkat yang bersesuaian,” katanya dalam kenyataan pembukaan beliau.

Peguam Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, langkah itu bercanggah dengan perlembagaan dan beliau akan menjelaskan perkara itu kepada mahkamah pada waktu yang sesuai.

“Saya tidak mahu membuat apa-apa komen berhubung perkara ini kerana penggunaan Seksyen 63 adalah bercanggah dengan perlembagaan,” katanya.

Dalam pada itu, peguam N Sivananthan yang mewakili Arul berkata, pemakluman itu sangat mengejutkan, dengan menambah bahawa peruntukan itu tidak pernah digunakan sebelum ini.

Sivananthan juga berkata, beliau akan membuat permohonan kepada hakim perbicaraan supaya menggugurkan pertuduhan ke atas anak guamnnya selepas Arul selesai memberikan testimoni beliau sekiranya pihak pendakwaan menggunakan peruntukan tersebut.

Seksyen 63 Akta SPRM menyebut “apabila dua orang atau lebih dipertuduh atas suatu kesalahan, mahkamah boleh, atas permohonan bertulis pendakwa raya, menghendaki seorang atau lebih seorang daripada mereka supaya memberikan keterangan sebagai saksi pihak pendakwaan”.

Mereka yang enggan membuat sumpah atau ikrar atau menjawab apa-apa soalan hendaklah diambil tindakan di sisi undang-undang oleh mahkamah.

Najib berdepan pertuduhan menyalahgunakan kedudukan untuk melindungi dirinya daripada tindakan undang-undang berkait dakwaan beliau meminda laporan audit 1MDB antara 22 dan 26 Feb 2016.

Arul dituduh bersubahat dengan Najib.

Jika sabit kesalahan mereka boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 20 tahun.