
Majistret, Shahrul Ekhsan Hasim menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Razali Kamarulzaman, 29, dan Mohammad Asmil Kadni, 26, selepas kedua-dua tertuduh mengaku bersalah.
Mahkamah memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara bermula hari ini.
Mengikut pertuduhan, mereka yang berasal dari Raub didakwa selaku pembawa beg berisi wang tunai RM600,000 yang diamanahkan ke atas mereka, melakukan pecah amanah antara 7.30 petang hingga 10.50 malam 14 Nov lalu di Securiforce cawangan Raub.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 407 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun, sebatan dan boleh didenda.
Berdasarkan fakta kes, kedua-dua tertuduh bersama 2 lagi pengawal keselamatan diarah menghantar 4 beg kanvas berisi wang tunai ke ibu pejabat syarikat keselamatan itu di Kota Damansara, Selangor.
Bagaimanapun, dalam perjalanan itu, 2 tertuduh menyeluk ke dalam salah satu beg dan mengoyakkan satu beg kecil di dalamnya untuk mengambil wang tunai RM100 yang keseluruhannya berjumlah RM600,000, sebelum memasukkannya ke dalam beg galas mereka.
Wang itu kemudiannya disembunyikan di bawah almari kecil di sebuah bilik hotel di sini, dengan RM700 daripadanya dibayar untuk sewaan bilik selama seminggu.
Terdahulu, Razali merayu dijatuhi hukuman ringan kerana dia perlu menyara isteri yang tidak bekerja dan seorang anak kecil dengan pendapatan RM1,500 sebulan.
Asmil pula yang masih bujang berkata, pendapatan kecil dan perlu membantu menyara ibu yang uzur.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Samirah Khalili, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.