
Mahkamah Rayuan pada 11 November membuat ketetapan berkenaan selepas tertuduh yang diwakili peguamnya, Syahredzan Johan yang sebelum ini memfailkan petisyen rayuan pada 6 Mac.
Panel hakim Mahkamah Rayuan yang mendengar permohonan dan menetapkan keputusan itu adalah Yaacob Md Sam, Zabariah Kohd Yusof dan Ravinthran Paramaguru.
“Maka dengan sebulat suara diperintahkan, rayuan terhadap pertuduhan kedua dibenarkan, perintah sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi bagi pertuduhan kedua diketepikan,” katanya.
Bagaimanapun rayuan terhadap sabitan bagi pertuduhan pertama dan ketiga ditolak oleh mahkamah, namun membenarkan hukuman bagi pertuduhan itu dikurangkan.
“Hukuman Mahkamah Tinggi bagi pertuduhan pertama dan ketiga diketepikan dan diganti dengan hukuman 10 tahun penjara bagi setiap pertuduhan tersebut.
“Hukuman penjara bagi pertuduhan pertama dan ketiga berjalan serentak bermula tarikh tangkapan pada 29 Jun 2016,” katanya.

Pada Disember 2017, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Nordin Hassan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Mustaza.
Mustaza bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan secara sedar memberi sokongan kepada berlakunya perbuatan pengganas yang membabitkan penggunaan bahan letupan
Beliau juga didakwa dengan sengaja tidak memberi apa-apa maklumat berkenaan dengan kesalahan berkaitan pengganas dan dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan IS dengan cara melakukan sumpah setia.
Bagi pertuduhan pertama Mustaza didakwa di bawah Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, beliau didakwa mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga tujuh atau denda.
Bagi pertuduhan ketiga, beliau didakwa di bawah Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan.
Semua kesalahan berkenaan dilakukan menerusi telefon bimbit tertuduh, iaitu melalui aplikasi Telegram dalam kumpulan perbualan “gagak hitam” antara 30 Mac dan 29 Julai 2016 di rumah No G7-1-1 Blok Iksora, Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Kedah.
Syahredzan turut memberitahu, pihaknya sudah menghantar notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan pada 18 November lalu dan masih menunggu notis perbicaraan.
Sementara itu Mahathir Abdul Rahman, abang kepada Mustaza memberitahu FMT bahawa beliau dan ahli keluarganya terpaksa menanti selama 3 tahun untuk mendapatkan “keadilan”.
“Ini baru sampai peringkat Mahkamah Rayuan, setelah 3 tahun menanti dengan perit. Sebab itulah majoriti tahanan Sosma yang sudah ditahan memilih untuk mengaku bersalah bagi mendapatkan hukuman yang ringan.
“Ia supaya mereka dapat bersama dengan keluarga tercinta. Mereka mengaku bukan sebab mereka pengganas,” katanya.